Print

Daripada Aqsa Syarif Kepada MyCARE

on .

Sejak dari awal tahun 2014, sudah wujud idea konsolidasi projek-projek bantuan kemanusiaan antara Aqsa Syarif dengan beberapa badan bantuan kemanusiaan yang mempunyai hubungan rapat dengan kami dengan harapan untuk menjana lebih sinergi dan mengurus perkongsian sumber dengan lebih efektif. Langkah ini juga bertujuan untuk memperkasa dan memperkemas bantuan kemanusiaan ke negara-negara umat Islam lain yang turut memerlukan bantuan dan perhatian daripada kita semua.

Pengalaman 4 tahun Aqsa Syarif dalam projek dan misi bantuan kemanusiaan di Palestin mengajarkan kepada kami bahawa konflik umat Islam di negara yang berjiran dengan Palestin seperti Syria dan Iraq tidak mungkin dapat dibiarkan begitu sahaja tanpa pembelaan yang serupa; lebih-lebih lagi apabila penyelesaian konflik di negara-negara ini mempunyai hubungan rapat dengan kejayaan agenda pembebasan Palestin.

Justeru, berbekalkan pengalaman yang ada dan impian untuk membawa agenda perubahan umat yang lebih besar, Aqsa Syarif telah menyatakan kesediaan untuk bergabung dengan 5 buah agensi lain iaitu IKRAM4Syria (i4S), Salam Iraq, Rose2Rose, Nusantara CARE (NICE) dan Palestine Centre of Excellence (PACE) di bawah satu payung yang diberi nama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). Di bawah MyCARE, Aqsa Syarif akan tetap meneruskan malah memperkembang projek-projeknya di Palestin sementara agensi-agensi lain di bawah MyCARE akan memberi fokus kepada negara-negara di bawah kelolaan masing-masing. Semoga dengan penyatuan ini projek-projek bantuan kemanusiaan dapat terus diperkasa dan diurus dengan lebih baik.

Sesuai dengan pengstrukturan baru ini juga, bermula 1 Januari 2015 MyCARE akan diterajui oleh Tn. Haji Ibrahim bin Mohamad, seorang yang mempunyai berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran korporat. Pengalaman dan penglibatan beliau dalam gerak-kerja NGO juga tidak kurang hebatnya. Semoga di bawah pimpinan beliau sebagai CEO, MyCARE akan terus dipacu kehadapan demi kemaslahatan ummah dan kemanusiaan sejagat.

Jazakumullah khairan katheera (semoga Allah membalas kamu dengan sebaik-baiknya dan sebanyak-banyaknya) kepada anda semua yang telah berdiri teguh menyokong usaha-usaha kemanusiaan yang dianjurkan sama ada oleh Aqsa Syarif, IKRAM4Syria (i4S), Rose2Rose, Salam Iraq, NICE dan PACE selama ini. Kami memohon sokongan yang sama atau lebih baik lagi daripada anda kepada MyCARE di masa akan datang.

'Nurturing Humanity, Making A Difference'

Sekian, terima kasih.
Yang menunaikan amanah,

TN HAJI KAMARUL ZAMAN SHAHARUL ANWAR,
Mantan Pengurus Besar,
Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE)

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud