Print

Masjid Al-Aqsa kiblat yang pertama?

on .

Masjid Al-Aqsa kiblat yang pertama?

Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat yang pertama semenjak agama Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W di Mekah. Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat R.A menunaikan solat berkiblatkan Masjid Al-Aqsa ketika mereka berada di Mekah semenjak wujudnya kewajipan solat fardu lima kali sehari pada peristiwa Israa dan Mikraj yang berlaku pada tahun tiga tahun sebelum hijrah.

Selepas Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat R.A berhijrah ke Madinah, umat Islam masih menunaikan solat berkiblatkan Masjid Al-Aqsa selama enam bulan, kemudian baru ditukarkan kiblat ke arah Masjid Al-Haram atau Kaa’bah dengan turunnya firman Allah S.W.T,

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (Kaa’bah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.”(Surah Al Baqarah Ayat 150)

Di Madinah adanya satu masjid yang dinamakan Masjid Dua Kiblat kerana pada masjid tersebut terdapat kesan umat Islam ketika sedang menunaikan solat fardu berkiblatkan Masjid Al-Aqsa datangnya wahyu yang memerintahkan penukaran kiblat, maka mereka yang sedang menunaikan solat ketika itu, terus pusing ke belakang menghala ke Masjid Al-Haram. Dan masjid tersebut masih wujud sehingga sekarang.

Yahudi ketika itu yang sangat memusuhi umat Islam mempermainkan dan mempersendakan umat Islam kerana pertukaran kiblat ini. Maka Allah memberitahu kepada umat Islam bahawa semua arah, tidak kira barat atau timur, di mana-mana sahaja di alam ini adalah milik Allah dan Allah lah yang menentukan di manakah hala atau kiblat solat umat Islam (lihat terjemahan ayat Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 142-143). Yahudi menyindir umat Islam dengan berkata, “Telah terbatal semua solat-solat kamu kerana, kamu semua sebelum ini menunaikan solat dengan kiblat yang salah.” Maka turunlah wahyu Allah dengan firman Allah S.W.T,

“Sesungguhnya Allah tidak pernah mengabaikan iman kamu.” (Surah Al-Baqarah ayat 143)

Maksud daripada ayat ini, Allah tidak pernah abaikan solat-solat umat Islam yang menunaikan solat berkiblat Masjid Al-Aqsa sebelum ini.

Hari ini, Yahudi yang berpegang dengan ideologi Zionisma jelas sekali berniat untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa dan membina di tanah Masjid Al-Aqsa tersebut dengan Haikal Sulaiman (nama kuil Yahudi). Hanya Allah sahaja yang tahu bila Masjid Al-Aqsa akan runtuh. Semoga dengan mengetahui dan mengimani bahawa Masjid Al-Aqsa pernah menjadi kiblat orang Islam yang pertama, maka ketahuilah, bahawa Masjid Al-Aqsa berhajat kepada pembebasan daripada cengkaman penjajah Zionis Israel Yahudi.

Megat Aiman Hakim

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud