Print

Gencatan senjata di Gaza goncang politik di Israel

on .

Kerajaan Zionis Israel yang ke-34 pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bergoncang semalam ekoran PERLETAKAN JAWATAN dan pengunduran Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman.

Liebermen yang juga Ketua Parti Yisrael Beiteinu turut menarik keluar 5 orang lagi ahli parlimen partinya dari gabungan parti kerajaan menyebabkan kerajaan Netanyahu kini mempunyai majoriti 1 kerusi Parlimen sahaja pada ketika ini (61 daripada 120 kerusi Parlimen).

Ini mengundang spekulasi akan berlakunya pilihanraya lebih awal di Israel yang sepatutnya dijadualkan sebelum November 2019. Lieberman dan Parti Yisrael Beiteinu dari sayap ekstrem kanan di Israel dilihat cuba mengambil kesempatan untuk meraih undi.

Netanyahu juga semakin tertekan apabila pengumumannya untuk mengambil-alih Kementerian Pertahanan buat sementara waktu diselar oleh rakan gabungan parti kerajaannya, Naftali Bennett, Ketua Parti The Jewish Home (Habayit Hayehudi) MENGUGUT agar kementerian tersebut diserahkan kepada partinya atau beliau dan partinya akan membubarkan kerajaan Netanyahu.

Parti The Jewish Home memiliki 8 kerusi Parlimen. Pengunduran parti ini dari kerajaan Netanyahu secara automatik akan menyebabkan Netanyahu kehilangan kelayakan untuk kekal memerintah melainkan ia berjaya menarik sokongan dari parti-parti lain.

Namun, ini hampir pasti mustahil kerana parti-parti yang berbaki - Zionist Union, Arab Join List, Yesh Atid dan Maretz, mempunyai pandangan dan pendekatan yang jauh berbeza dengan Parti Likud pimpinan Netanyahu.

Justeru, apakah kita akan melihat berlakunya pilihanraya lebih awal di Israel?

Apakah Netanyahu bersedia mengambil risiko ini selepas tindakannya bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza dilihat sangat tidak popular di kalangan rakyat Israel?

Apakah Netanyahu akan tunduk kepada tuntutan Naftali Bennett dan menyerahkan Kementerian Pertahanan kepada parti The Jewish Home; parti yang sebenarnya tidak jauh berbeza pandangannya dengan Avigdor Lieberman?

Sama-sama kita nantikan perkembangannya.

- Khalid Jimat, Pegawai Penyelidik PACE

Foto: Avigdor Lieberman, Ketua Parti Yisrael Beiteinu
Kredit foto: Hadas Parush/Flash90

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud