Print

Hari Ini Dalam Sejarah | 15 April 1936: Kebangkitan Arab Palestin 1936-1939

on .

Tanggal 15 April 1936 mencatat sejarah sebagai permulaan kebangkitan Arab Palestin yang terbesar sejak tanah Palestin dijajah oleh British pasca Perang Dunia Pertama. Ia boleh dikatakan sebagai Intifada Palestin yang terawal dan antara yang terbesar dalam sejarah perjuangan pembebasan Palestin.

Kegagalan British menyekat kemasukan beramai-ramai pendatang Yahudi ke Palestin, penjualan tanah kepada mereka dan penyeludupan senjata oleh militan Zionis telah menimbulkan ketegangan antara British dan rakyat Arab Palestin. Kemarahan rakyat Palestin semakin memuncak apabila British menarik semula Kertas Putih 1930 yang mengandungi persetujuan untuk mengehadkan kemasukan pendatang Yahudi.

Pembelotan British ini mendorong rakyat Palestin untuk menubuhkan parti-parti politik (sebelum ini diharamkan) dan kumpulan-kumpulan bersenjata untuk mempertahankan tanah air mereka. Mereka bahkan berjaya mengumpulkan ulama dan ilmuwan Islam dari 22 negara Islam di Baitulmaqdis bagi mendapatkan sokongan seluruh umat Islam.

Sebelum kebangkitan 1936, beberapa demonstrasi besar-besaran telah berlaku di Baitulmaqdis, Jaffa, Haifa, Nablus, Beersheba, Lydda dan bandar-bandar lain di Palestin pada Oktober 1933. Berpuluh-puluh orang terkorban dalam siri demonstrasi ini termasuk salah seorang pemimpin besar pada ketika itu, Musa Kazim al-Hussaini. Beberapa operasi ketenteraan ke atas British juga berjaya dilancarkan. Operasi Ya’bad ke atas pasukan polis British pada 20 November 1935 telah mengorbankan Syeikh Izzuddin al-Qassam, ketua Gerakan Jihad.

Operasi seterusnya pada 15 April 1936 oleh Gerakan Jihad di bawah pimpinan baru, Syeikh Farhan Sa’di, kemudian telah menjadi pencetus kepada kebangkitan besar-besaran pada tahun 1936. Seluruh parti politik, kumpulan bersenjata dan badan ulama bangkit dan bersatu memimpin rakyat bagi menyatakan bantahan ke atas British. Mereka melancarkan mogok dan tunjuk perasaan di seluruh negara serta berikrar untuk meneruskan bantahan sehingga tuntutan mereka dipenuhi – penubuhan Kerajaan Arab Palestin di bawah sistem berparlimen, menyekat kemasukan pendatang Yahudi dan penjualan tanah kepada mereka.

Fasa pertama kebangkitan ini berlangsung selama 178 hari. Ia dihentikan sementara bagi persiapan menyambut kehadiran delegasi Suruhanjaya Diraja yang ingin menyiasat perkembangan yang berlaku dan mengusulkan cadangan penyelesaian. Walau bagaimanapun, kebangkitan ini disambung semula selepas suruhanjaya ini membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dengan cadangan agar Palestin dipecahkan untuk rakyat Palestin dan Yahudi.

Kebangkitan mencapai kemuncaknya pada tahun 1938 apabila rakyat Palestin berjaya melancarkan 4,969 operasi ketenteraan ke atas kepentingan British. Jika pertembungan ini adalah semata-mata antara rakyat Palestin dan British, British sudah pasti akan berundur. Namun, demi mempertahankan kepentingan Zionis di Palestin, British telah mengerahkan bantuan tentera tambahan yang terdiri daripada pemimpin tentera mereka yang terbaik dengan kelengkapan perang yang paling canggih ketika itu untuk mengekang kebangkitan ini. Hasilnya, kebangkitan ini mulai kendur menjelang April 1939 dan perlahan-lahan lenyap sehingga akhir tahun.

Secara keseluruhannya, kebangkitan ini telah menyebabkan hampir 4,000 orang rakyat Palestin terkorban dan 8,500 orang cedera. Walaupun British berjaya mengekang kebangkitan ini, ia telah memaksa British melupakan idea pemecahan Palestin, melepaskan tahanan politik dan menaja satu persidangan di London bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah di Palestin. Hasilnya, pada Mei 1939, British menerbitkan Kertas Putih 1939 yang menyokong idea penubuhan negara Palestin yang bersatu dan merdeka dengan kerajaan dipimpin bersama oleh rakyat Arab Palestin dan pendatang Yahudi. Idea ini walau bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan kerana tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud