Print

Hari Ini Dalam Sejarah | 25 Januari 1935: Muktamar Ulama Palestin Kali Yang Pertama Baitulmaqdis

on .

Selepas kejayaan menganjurkan muktamar bersama ulama dari 22 negara Islam pada 7-17 Disember 1931 di Baitulmaqdis, al-Haj Amin Hussaini, Mufti Baitulmaqdis menganjurkan pula 'Muktamar Ulama Palestin' yang pertama pada 25 Januari 1935. Muktamar ini bertujuan untuk menyatu dan mengukuhkan pandangan umat Islam terhadap perjuangan pembebasan Palestin.

Peranan ulama dalam perjuangan pembebasan Palestin pada mulanya agak tenggelam kerana dibayangi oleh gelombang nasionalisme Arab. Namun, kegagalan jalan politik dan diplomatik sejak tahun 1919 telah menyebabkan rakyat mula mencari semula kekuatan melalui golongan ulama.

Ulama Palestin di bawah pimpinan Mufti al-Haj Amin Hussaini sepakat menyokong agenda pembebasan Palestin dengan tuntutan-tuntutan yang serupa dengan golongan nasionalis - menolak Deklarasi Balfour, menuntut kemasukan (imigrasi) golongan Yahudi dan penjualan tanah kepada orang Yahudi dihentikan, dan menyokong pembentukan kerajaan Arab Palestin yang demokratik yang mewakili suara sebenar rakyat Palestin. Tetapi pendirian ulama membawa bersamanya kekuatan akidah yang membangkitkan semangat jihad dalam diri umat.

Dalam Muktamar Ulama Palestin yang pertama pada 25 Januari 1935, ulama Palestin telah mengeluarkan fatwa yang sangat tegas tentang pengharaman penjualan tanah di Palestin kepada orang Yahudi. Kejelasan dan ketegasan pendirian ulama ini telah berjaya mengekang usaha kumpulan Zionis untuk 'merampas' sebanyak mungkin tanah di Palestin melalui jual-beli yang licik. Kesannya, hanya 6% daripada Palestin berjaya dikuasai oleh golongan Zionis sebelum tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1948.

Berikut adalah petikan daripada fatwa yang telah dikeluarkan:

"Haram menjual tanah di Palestin kepada orang Yahudi, atau menjadi orang tengah dalam jual-beli, atau menjadi broker, atau membantu dalam apa jua bentuk; dan haram menyenangi urusan tersebut, atau berdiam diri ke atasnya. Kesemua di atas sekiranya dilakukan oleh seseorang yang mengetahui akibatnya (tercapainya matlamat Zionis), dan berpuas hati dengannya, akan menyebabkan ia jatuh kufur dan murtad dari agama Islam."

"Oleh yang demikian, adalah tidak boleh menyembahyangkan jenazahnya apabila dia mati, tidak dibenarkan dikebumi di tanah perkuburan umat Islam, dan wajib memulaukan mereka, memutuskan hubungan dengan mereka, berseteru dengan mereka, tidak menyayangi dan bermesra dengan mereka. Semua ini perlu dilakukan meskipun orang yang terlibat itu adalah ibubapa sendiri, anak-anak, adik-beradik atau suami isteri."
-
Khalid Jimat, Palestine Centre of Excellence (PACE).

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud