Print

Kempen Boikot Israel

on .

Oleh Khalid Jimat
 
Kempen boikot Israel dan syarikat-syarikat yang berurusan dengan Israel telah dipopularkan oleh gerakan-gerakan sivil pro-Palestin seperti Inminds, Interpal dan Palestine Solidarity Campaign (PSC) sejak tahun 1990an lagi. Ia adalah kesan langsung kepada pengenduran kempen boikot Israel oleh negara-negara Arab pasca Persidangan Damai Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993 juga solidariti aktivis hak asasi manusia bersama rakyat Palestin ketika Intifada Palestin (1987-1993).

Boikot Sebelum Madrid dan Oslo
**************************************
Sebelum Madrid dan Oslo, banyak syarikat cuba mengelak daripada berurusan dengan Israel kerana bimbang disenarai hitam oleh negara-negara Arab. Sejak tertubuhnya Israel pada tahun 1948, Liga Arab telah menubuhkan satu biro khas - Central Boycott Office, untuk memantau senarai syarikat-syarikat Israel dan syarikat multinasional yang berurusan dengan Israel.

Bagi melindungi Israel daripada ancaman boikot Liga Arab, Kongres US telah meluluskan satu rang undang-undang pada tahun 1977 yang mengharamkan penglibatan syarikat-syarikat US dalam kempen boikot Israel oleh Liga Arab. L'oreal sebagai contoh pernah disaman oleh kumpulan pro-Zionis di US, Anti-Defamation League (ADL) atas tuduhan anti-semitik kerana tunduk kepada ancaman boikot Liga Arab.
 
Boikot Pasca Madrid dan Oslo
************************************
Namun, selepas Madrid dan Oslo, pelbagai syarikat mula memberanikan diri untuk membuka cawangan di Israel. Antaranya termasuklah McDonald's (1993), Nestle (1995) dan L'oreal (1995). Kemasukan syarikat-syarikat ini memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi Israel sehingga Nestle dan L'oreal menerima anugerah ketika sambutan Jubli Emas (50 Tahun) Israel pada tahun 1998.

Suara boikot menjadi semakin lantang ketika Intifada al-Aqsa (2000-2005) apabila Syeikh Yusuf al-Qardhawi, Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengeluarkan fatwa menggesa umat Islam memboikot syarikat-syarikat yang menyokong Israel:

“Setiap riyal, dirham dan sebagainya yang digunakan untuk membeli barangan mereka akhirnya akan menjadi peluru-peluru untuk menembak jantung saudara-saudara dan anak-anak di Palestin. Oleh kerana itu, adalah wajib bagi kita untuk tidak membantu mereka (musuh Islam) dengan membeli barangan mereka. Membeli barangan mereka bererti menyokong kezaliman, penindasan dan kekejaman. Membeli barangan mereka akan menguatkan mereka; tangungjawab kita adalah untuk melemahkan mereka semampu kita. Kewajipan kita juga adalah untuk menguatkan saudara-saudara kita yang berjuang di bumi barakah ini semaksima yang boleh. Jika kita tidak mampu menguatkan mereka, adalah menjadi tugas kita untuk melemahkan musuh. Sekiranya kelemahan musuh tidak tercapai kecuali dengan boikot, maka kita wajib memboikot mereka.”

Walau bagaimanapun, tekanan boikot ketika itu masih tidak mampu menandingi sokongan dan bantuan yang diterima oleh Israel dari US dan syarikat-syarikat multinasional. Penjajahan dan penguasaan tentera bahkan semakin diperketat pasca Intifada al-Aqsa dengan pembinaan tembok pemisah (apartheid) di Tebing Barat, kepungan ke atas Gaza, penambahan pos-pos pemeriksaan tentera, serbuan, penangkapan dan pemenjaraan aktivis dan ahli politik, rampasan tanah, perobohan rumah-rumah, pembinaan penempatan haram Yahudi dan pelbagai lagi tindakan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Pelbagai tindakan telah diambil oleh aktivis hak asasi manusia untuk membela nasib rakyat Palestin. Antaranya termasuklah membawa kes-kes jenayah Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Hasilnya pada tahun 2004, ICJ telah mengeluarkan ketetapan bahawa tembok apartheid yang dibina oleh Israel di Tebing Barat jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Tembok ini perlu diruntuhkan dan pembinaannya perlu dihentikan serta-merta. Walau bagaimanapun, keputusan ini langsung tidak diendahkan dan tiada sebarang tindakan sewajarnya diambil oleh komuniti antarabangsa ke atas Israel.

BDS Sebagai Wahana Boikot Yang Baru
***********************************************
Selepas lebih setahun tanpa tindakan ke atas keputusan ICJ, 170 pertubuhan sivil di Palestin telah bersatu membentuk satu gerakan yang dikenali sebagai 'Boycott, Divestment and Sanction (BDS) Movement.' Gerakan ini menuntut agar Israel:

1. Mengakhiri penjajahan dan kolonisasi tanah Arab yang dirampas pada Jun 1967 dan meruntuhkan tembok (apartheid) yang dibina;
2. Mengiktiraf hak asasi warganegara Israel berketurunan Arab Palestin menikmati kesamarataan hak;
3. Menghormati, memelihara dan mempromosi hak pelarian Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka sepertimana yang termaktub dalam Resolusi PBB 194.

BDS pada mulanya tidak mendapat respon positif; barangkali kerana ideanya dilihat terlalu bombastik. BDS tidak sekadar menyeru kepada boikot konsumer malah turut menyeru kepada boikot akademik dan budaya. BDS juga mengajak kepada pemerkasaan insiatif boikot melalui pendekatan 'divestment' dengan menyeru badan-badan awam agar menarik keluar pelaburan mereka daripada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan kezaliman Israel. BDS bahkan menyeru agar dunia mengenakan sekatan ekonomi dan embargo ketenteraan ke atas Israel agar ia akur kepada tuntutan undang-undang antarabangsa. Dengan kata lain, BDS telah meluaskan dan memperkukuh kempen boikot sedia ada sekaligus mengangkatnya ke satu tahap lebih tinggi.

Keteguhan, ketegasan dan kebijaksanaan rakyat Palestin dan aktivis BDS sejak 2005 telah membawa gerakan itu ke satu tahap yang sangat membanggakan. BDS mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk orang-orang Yahudi sendiri yang enggan menghalalkan kezaliman atas nama mereka. Hari ini BDS masyhur di seantero dunia sehingga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytihar BDS sebagai ancaman terbesar ke atas Israel; satu pengiktirafan besar ke atas keberkesanan BDS!

Israel kerugian berbilion-bilion dolar kesan daripada kempen BDS di seluruh dunia. Kerajaan (Norway, Luxembourg, New Zealand), bank (Nordea, Danske Bank), syarikat korporat (Veolia, Orange, CRH) dan para pelabur (Presbyterian Church, United Methodist Church, PGGM) di Eropah sudah mula berundur dari industri penempatan haram Israel di Tebing Barat. Kesatuan Eropah (EU) juga telah mengeluarkan pekeliling agar produk-produk dari penempatan haram Israel dilabel sebagai produk dari 'Tebing Barat' dan bukan lagi sebagai produk Israel bagi mengelak daripada menyokong industri penempatan haram Israel di Tebing Barat. Terbaru (Disember 2016), Majlis Keselamatan PBB (UNSC) meluluskan Resolusi 2334 mengecam pendudukan haram Israel di Tebing Barat.

Boikot Israel di Malaysia
****************************
Malaysia secara rasminya tidak mengiktiraf Israel dan ia jelas terpampang dalam pasport setiap daripada rakyat Malaysia: "Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel." Beberapa insiden seperti bantahan penyertaan skuad kriket Israel di Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa 1997 dan atlet perahu layar Israel di Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa (ISAF YWC) 2015 di Malaysia adalah antara bukti pemulauan Israel oleh rakyat Malaysia.

Kempen boikot syarikat yang mesra Israel mula mendapat tempat di Malaysia ketika viralnya fatwa tentang boikot oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi pada tahun 2002. Kempen ini semakin hangat apabila Israel menyerang Gaza pada Disember 2008-Januari 2009. Aktivis kemanusiaan di Malaysia bahkan telah menubuhkan COMPLETE (Coalition of Malaysian NGOs Against the Persecution of Palestinian; kini dikenali sebagai Viva Palestina Malaysia, VPM) dan melancarkan kempen boikot produk-produk konsumer yang telah dikenalpasti menyumbang kepada kelestarian Israel.

AQSA SYARIF telah bersama-sama Viva Palestina Malaysia (VPM) memfokuskan kempen boikot kepada 4 syarikat utama iaitu McDonald's, Nestle, Coca Cola dan L'oreal. Syarikat-syarikat ini dipilih secara strategik daripada senarai boikot yang panjang selepas mengenalpasti sumbangan mereka kepada kelestarian ekonomi Israel juga kepada badan-badan Yahudi pro-Zionis yang sentiasa membela kekejaman dan jenayah Israel.

Daripada 4 produk yang disasarkan, McDonald's merupakan sasaran yang 'paling mudah' dan sering menjadi buah mulut. Kempen boikot McDonald's mencapai tahap tertinggi pasca serangan Israel ke atas Gaza pada Julai-Ogos 2014 apabila rakyat awam sendiri menggerakkan kempen ini. Dengan kata lain, kempen ini telah diangkat sehingga menjadi kepentingan awam (public interest).

Penubuhan BDS Malaysia
******************************
Kejayaan BDS di peringkat global telah memberi suntikan semangat kepada AQSA SYARIF dan VPM untuk membawa kempen BDS ke Malaysia. Hasilnya, satu persidangan antarabangsa "BDS for Justice" telah berjaya dianjurkan pada tahun 2015 di Universiti Malaya (UM) yang menampilkan nama-nama besar BDS seperti Ali Abunimah (Pengasas Bersama laman web terkenal Electronic Intifada), Anna Baltzer (Pengarah Program dan Advokasi di US Campaign for Palestinian Rights berketurunan Yahudi-Amerika) dan Samah Sabawi (Pengarah Teater dan Drama berketurunan Palestin-Kanada-Australia dan Penasihat Polisi di Al-Shabaka).

Persidangan BDS yang pertama di Malaysia ini kemudian memangkin penubuhan BDS Malaysia pada 29 November 2015 sempena 'Hari Solidariti Dunia Bersama Rakyat Palestin'. AQSA SYARIF dan VPM turut menjadi NGO anggota BDS Malaysia selain Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) dan Quds Foundation Malaysia (QFM). Hasil tunjuk ajar dan bimbingan daripada BDS National Committee (BNC), BDS Malaysia telah tampil dengan 5 sasaran boikot iaitu Hyundai, Caterpillar, HP, G4S dan Ahava.

Berbeza dengan kempen boikot konsumer sebelum ini, kempen BDS memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan penjajahan dan kezaliman Israel yang sedang aktif di Tebing Barat, Jerusalem dan Gaza (wilayah Palestin yang dirampas pada tahun 1967). Sebagai contoh, Hyundai dan Caterpillar menyumbang kepada kezaliman Israel merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin, merampas tanah mereka dan membina penempatan haram di atasnya. HP pula merupakan syarikat yang membekalkan perkhidmatan IT kepada tentera dan polis Israel manakala G4S membekalkan teknologi kepada pos-pos pemeriksaan tentera dan penjara Israel.

McDonald's Digugurkan Dari Sasaran Boikot?
****************************************************
Baru-baru ini muncul penulisan yang mendakwa pengguguran McDonald's dan beberapa produk lain daripada sasaran boikot kerana produk-produk ini tidak termasuk dalam senarai sasaran BDS global mahupun BDS Malaysia. Dakwaan ini kurang tepat dan mengelirukan.

Perlu diperbetulkan di sini bahawa McDonald's, Nestle dan pelbagai lagi produk konsumer yang disenaraikan oleh Inminds.com dan penggerak-penggerak kempen boikot sebelum kemunculan BDS (selepas ini: Kempen Boikot), majoritinya memang TIDAK PERNAH menjadi sasaran BDS. Ini kerana BDS mempunyai dasar, pendekatan dan fokus yang berbeza dengan kempen-kempen sebelumnya.

Berikut adalah antara perbezaan utama BDS dan Kempen Boikot:

1. BDS menjadikan RESOLUSI PBB dan UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA sebagai dasar utamanya; Kempen Boikot tidak mengehadkan dasar mereka kepada resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa semata-mata tetapi turut mengambilkira aspek SEJARAH, KONTEKS DAN PENGKHIANATAN kuasa-kuasa besar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri dalam meluluskan resolusi dan undang-undang sedia ada.

2. BDS tidak beroperasi menggunakan senarai tetapi menggunakan pendekatan kempen menyeluruh ke atas syarikat yang disasarkan meliputi aspek boikot, divestment dan sekatan; Kempen Boikot memanfaatkan dan popular dengan SENARAI boikot.

3. BDS memberi fokus kepada SYARIKAT-SYARIKAT ISRAEL dan MULTINASIONAL yang aktif di Tebing Barat, Jerusalem dan Gaza; Kempen Boikot menyenaraikan SEMUA syarikat termasuk yang aktif di wilayah Palestin 1948 (Israel) mahupun di luar negara asalkan ia menyumbang kepada Israel mahupun badan-badan pro-Israel.

Perbezaan ini telah menyebabkan BDS dan Kempen Boikot mempunyai sasaran dan pendekatan yang agak berbeza. Walau bagaimanapun, perbezaan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai penafian kepada usaha mana-mana pihak. Sebaliknya ia perlu dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan inisiatif boikot dan saling lengkap-melengkapi.

Justeru itu, sasaran-sasaran boikot sebelum ini masih sah dan wajar diteruskan selagi tiada perubahan kepada asas dan sebab mereka diboikot. Mereka diboikot kerana sumbangan mereka kepada Israel bukan kerana mereka ada atau tiada dalam senarai BDS! Ini jelas.

Teruskan Boikot
*******************
Untuk makluman anda, McDonald's, Nestle, Coca Cola, L'oreal dan pelbagai lagi syarikat yang disasarkan oleh Kempen Boikot masih beroperasi di Israel (malah sebahagian di penempatan haram Israel), di atas tanah milik rakyat Palestin yang majoritinya kini dipaksa tinggal di kem-kem pelarian di Gaza (1.3 juta orang), Tebing Barat (774,167 orang), Lubnan (449,957 orang), Jordan (2,117,361 orang) dan Syria (526,744 orang).

Semua pelarian ini berada di bawah pantauan United Nations Relief and Works Agency (UNRWA), sebuah badan kebajikan khusus untuk melindungi pelarian Palestin. UNRWA ditubuhkan oleh PBB melalui Resolusi UNGA 302 (IV) 1949 pasca Perang Arab-Israel 1948 yang menatijahkan kelahiran negara haram Israel. Kegagalan dunia menyelesaikan isu ini telah menyebabkan mandat UNRWA terpaksa disambung sehingga ke hari ini dengan kos bantuan bernilai berjuta-juta dolar setiap tahun.

Baru-baru ini (9 Januari 2017), UNRWA melancarkan dua rayuan (appeal) bernilai $813 juta dolar untuk menampung keperluan pelarian Palestin di Occupied Palestinian Territories, oPT (Gaza, Tebing Barat dan Jerusalem) dan di wilayah serantau (Jordan, Lubnan dan Syria). Siapa agaknya yang menanggung semua kos ini? Israel? Syarikat-syarikat tadi? Wajarkah dunia diminta menanggung semua kos ini sedangkan Israel dan syarikat-syarikat ini senang lenang mengaut keuntungan di atas kesengsaraan orang lain?

Kuasa di Tangan Anda!
***************************
Justeru, sokonglah mana-mana kempen boikot yang sah. Dalam waktu yang sama, sokonglah dan bantulah kempen BDS kerana sasaran mereka bukan kecil tetapi syarikat gergasi multinasional. Dahulu syarikat-syarikat gergasi ini boleh mendabik dada kerana kita dilihat tidak mampu mengenakan tekanan kepada mereka. Tapi hari ini BDS telah berjaya membuktikan sebaliknya. Syarikat-syarikat ini kini merasa tidak selesa dan tidak selamat.

Berbekalkan mesej yang jelas, sasaran yang strategik dan kempen serentak oleh semua rangkaian BDS di peringkat global, kini kita benar-benar mampu mengenakan tekanan ke atas Israel dan mengubah nasib Palestin melalui jalan boikot. Mahukah anda turut serta?

Kuasa di tangan anda.
 

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud