Print

2 Oktober 1187 | Memperingati Pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin Al-Ayyubi

on .

Tanggal 2 OKTOBER merupakan hari bersejarah bagi umat Islam kerana ia mengingatkan kita tentang kejayaan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan kota Baitulmaqdis setelah lebih 88 tahun berada di bawah penguasaan Kerajaan Kristian Jerusalem (Kingdom of Jerusalem). Ia satu kejayaan yang cukup membanggakan hingga menjadi sebutan dan tauladan oleh rakan dan lawan.

Kejayaan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan kota Baitulmaqdis telah meletakkan kota itu kembali di bawah penjagaan dan perlindungan umat Islam. Lembaran sejarah jelas menunjukkan kota ini berada dalam keadaan paling aman dan sejahtera apabila ia diletakkan di bawah penjagaan dan perlindungan umat Islam. Di bawah pemerintahan Islam, umat Islam, Kristian mahu pun Yahudi masing-masing mendapat pengiktirafan untuk mendiami kota ini dan menghirup barakahnya.

Kota ini telah dibuka dan dibebaskan oleh umat Islam sebanyak dua kali - kali pertama oleh Saidina Umar al-Khattab pada tahun 637 M dan kali kedua oleh Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1187 M. Dan dalam kedua-dua pembebasan ini, transisi pemerintahan - sama ada daripada kerajaan Byzantine kepada Umar radiallahuanha mahu pun daripada kerajaan Salibiah (Crusades) kepada Salahuddin, telah berlaku dalam keadaan aman.

Salahuddin al-Ayyubi telah meneruskan legasi Saidina Umar al-Khattab ketika membebaskan kota ini. Tiada pembunuhan beramai-ramai (massacres) atau pun pencabulan hak asasi dibenarkan berlaku. Golongan yang lemah diberikan perlindungan atau dibebaskan manakala golongan yang gagah dibiarkan berundur secara terhormat. Tempat ibadah dipelihara dan kebebasan beragama diiktiraf. Malah, orang-orang Yahudi diberi kebenaran untuk kembali mendiami kota ini selepas diusir keluar oleh kerajaan Salibiah.

Hari ini kita menyaksikan kota ini sekali lagi cuba dibebaskan oleh umat Islam daripada pemerintahan yang zalim. Kerajaan Zionis Israel yang kini menguasai kota Baitulmaqdis telah melakukan pelbagai makar yang mencetuskan ketegangan, mencabuli hak asasi manusia dan mengorbankan banyak nyawa golongan yang tidak berdosa. Kezaliman mereka merentas usia dan agama. Namun, ia sedikit pun tidak menggentarkan dan melemahkan rakyat Palestin yang bertahan di kota itu dan di sekitar kota itu.

Mengambil episod pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi sebagai tauladan, kita meyakini bahawa kota ini akan sekali lagi dibebaskan oleh umat Islam. Dan biarpun ia dirampas oleh musuh Islam dengan cara yang begitu biadap, umat Islam akan mengambil ia semula dengan cara paling terhormat; sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Saidina Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi.

Keadilan pasti akan kembali ke kota barakah ini dan di atas bahu umat Islamlah amanah ini tertanggungkan.

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
Palestine Centre of Excellence (PACE)

Sumber dari FB: Palestine Centre of Excellence - PACE

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud