Print

Penerangan Isu Boikot (Bah. 1)

on .


Berikutan perang baru yang dilancarkan rejim Zionis Israel ke atas Gaza baru-baru ini, isu boikot kembali mendapat perhatian masyarakat umum Malaysia. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mempersoal keberkesanan juga kesahihan fakta yang disebarkan. Yang paling hebat mendapat perhatian ialah McDonald’s. Boikot bukan inisiatif baru. Ia telah lama dijalankan. Boikot ke atas Israel pada peringkat awal dipelopori oleh negara-negara Arab. Ia pernah mencetuskan situasi cemas ketika negara-negara Arab melalui OAPEC mengenakan embargo minyak ke atas US atas sokongannya kepada Israel dalam Perang Arab-Israel 1973.

Namun, selepas Mesir menjadi negara Arab pertama menjalinkan hubungan damai dengan Israel pada 1978, boikot ke atas Israel semakin kendur. Boikot akhirnya menjadi ibarat hidup segan mati tak mahu selepas Palestine Liberation Organization (PLO), badan rasmi yang mewakili suara rakyat Palestin menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 13 September 1993. Langkah ini turut disusuli oleh Jordan pada tahun berikutnya.

Pasca perjanjian damai ini, syarikat-syarikat asing yang dahulunya bimbang diboikot oleh negara-negara Arab mula membina pengkalan di Israel. Antaranya ialah McDonald’s yang membuka cawangan pertamanya di Ramat-Gan, Tel Aviv pada Oktober 1993.

KONSEP ASAS BOIKOT

Sebelum kita pergi lebih jauh, wajar untuk kita fahami konsep boikot yang dianjurkan oleh badan-badan antarabangsa yang lebih dahulu mempelopori gerakan sivil ini.

Boikot pasca perjanjian damai PLO-Israel banyak disasarkan kepada produk-produk konsumer yang mempunyai kaitan langsung dengan Israel kerana pelopornya adalah golongan muslim yang ingin berwaspada dengan apa yang bakal menjadi darah daging dan kelengkapan hidup mereka.

Inminds.com adalah antara kumpulan awal yang mempelopori gerakan ini seawal tahun 1998. Gerakan ini perlahan-lahan matang dan akhirnya mencetuskan gerakan baru yang dipelopori golongan intelektual dan aktivis pro-palestin dengan pendekatan lebih moden yang lebih komprehensif – Boycott, Divestment & Sanction (BDS) Movement.

BDS bukan sahaja menjadikan boikot satu daripada 3 sasarannya, malah meluaskan skop boikot daripada sekadar boikot barangan konsumer kepada boikot akademik, sukan dan budaya.

BDS juga menyeru kepada boikot dengan objektif dengan lebih jelas dan terkehadapan. BDS menggesa semua pihak memboikot Israel sehinggalah ia akur dan tunduk kepada tuntutan undang-undang antarabangsa:

1. Menamatkan penjajahan dan kolonisasi Israel ke atas semua tanah Arab Palestin yang dirampas pada Jun 1967 (Gaza dan Tebing Barat) serta menghapuskan tembok Apartheid

2. Mengiktiraf hak rakyat Arab-Palestin yang tinggal di dalam Israel mendapat hak sama rata

3. Menghormati dan memelihara hak rakyat pelarian Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka sepertimana yang termaktub dalam resolusi PBB 194

Dengan kata lain, BDS memperjuangkan kesemua hak asas rakyat Palestin sama ada mereka yang berada di bawah penjajahan dan kepungan Israel di Tebing Barat dan Gaza, yang berdepan dengan diskriminasi di Israel dan yang masih merempat di kem-kem pelarian di Jordan, Lubnan, Syria, Mesir dan sebagainya. Justeru, tindakan mengecilkan skop boikot kepada sekadar memberi tekanan dan kesan kepada tentera Israel (IDF) adalah tidak selari dengan objektif menyeluruh BDS.

Justeru, gerakan boikot di Malaysia diharap akan mengambil pendekatan yang komprehensif seperti ini merangkumi pembelaan hak-hak rakyat Palestin di semua wilayah Palestin yang kini terpisah-pisah.

Normalisasi hubungan dunia dengan Israel dari aspek konsumer, akademik, sukan dan kebudayaan perlu dibanteras sehingga penjajahan, kepungan, kolonialisasi, diskriminasi dan dasar apartheid Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan.

Dakwaan bahawa kita tidak mampu berbuat apa-apa ke atas Israel perlu dicabar melalui kuasa dan suara pengguna.

#BoikotIsrael

Bahagian 2: Hubungan McDonald’s dengan Jewish United Fund dan Israel

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud