Print

MESEJ TAHUN BAHARU 2019: Impian untuk dunia yang ADIL & AMAN

Tahun 2018 yang penuh dengan pahit dan manis kini melabuhkan tirainya. Namun, siapa di dunia ini yang tidak mengimpikan dunia yang aman? Kita mengimpikan dunia yang adil dan aman untuk semua tanpa mengira bangsa, agama, status ekonomi dan sempadan geografi.

Mari kita renung kembali tujuan utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan pada tahun 1945, sejurus selepas berakhirnya Perang Dunia II.

Piagam PBB menetapkan empat tujuan utama:

1. Memelihara keamanan dan keamanan di seluruh dunia
2. Membangun hubungan antara negara
3. Memupuk kerjasama antara negara-negara untuk menyelesaikan masalah ekonomi, sosial, budaya, atau kemanusiaan antarabangsa
4. Menyediakan forum untuk membawa negara bersama-sama untuk memenuhi tujuan dan matlamat PBB

Melihat situasi di Palestin, Syria, Yaman, Kashmir, Rohingya di Myanmar, Uighur di Xinxiang, China dan seumpamanya, kita ternyata gagal memelihara kedamaian dan keamanan dunia. Sesetengah konflik bahkan seusia umur PBB tanpa banyak kemajuan ke arah mencapai keamanan, kebebasan dan keadilan.

Namun, seteruk manapun keadaan, harapan sentiasa ada. Mereka yang cintakan kedamaian mesti berusaha bersungguh-sungguh agar keamanan dunia menjadi sasaran semua pihak.

Dalam isu Palestin, Israel telah gagal dan terus gagal dalam mematuhi tanggungjawabnya di bawah Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL). Pelanggaran dan pencabulan prinsip dasar undang-undang antarabangsa oleh Israel (seperti sekatan dua belas tahun ke atas penduduk Gaza, aktiviti pendudukan haram dan sebagainya) telah dikutuk oleh masyarakat antarabangsa berulang kali.

Malangnya, hanya segelintir yang benar-benar menterjemahkannya dalam bentuk tindakan ke arah pembebasan rakyat Palestin. Sebaliknya, ramai yang terus mengekalkan atau memperbaharui hubungan politik, keselamatan, diplomatik dan ekonomi yang rapat dengan Israel. Ini adalah percanggahan terang-terangan dengan tanggungjawab mereka untuk tidak membantu, memudahkan atau mengiktiraf pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel.

Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) telah diterima oleh semua negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015.

Matlamat ini membekalkan satu rangka tindakan yang dikongsi bersama untuk mencapai keamanan dan kemakmuran rakyat dengan bumi, untuk sekarang dan juga masa hadapan (Agenda 2030). Ia juga menggesa tindakan semua negara – baik negara membangun atau negara sedang membangun, ke arah kerjasama global bagi menamatkan kemiskinan dan pelbagai bentuk penderitaan lain, yang perlu berjalan selari dengan strategi dalam meningkatkan tahap kesihatan dan pendidikan, mengurangkan ketidaksamaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Leaving No One Behind, Tidak Meninggalkan Sesiapa di Belakang”, adalah moto, komitmen dan jiwa SDGs.

Malangnya 82% negara-negara yang terjejas akibat konflik, atau 4 dari 5 negara, berada jauh dari sasaran SDG menurut laporan Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dan Institut Pembangunan Luar Negara (September 2018). Jika keadaan ini berterusan, dunia tidak akan dapat memenuhi matlamat untuk mencapai keamanan dan kemakmuran menjelang 2030.

“Tidak meninggalkan sesiapa di belakang” memerlukan perubahan dari akar umbi – dari struktur ekonomi, sosial, politik, urus tadbir dan model ekonomi dari peringkat tempatan hingga ke antarabangsa.

Marilah kita semua berdoa dan berusaha memberi tekanan kepada negara seperti Israel, India dan China yang telah menandatangani Agenda 2030 SDGs untuk mematuhi komitmen mereka sebagaimana yang telah dipersetujui di PBB dalam memastikan kedamaian dan kemakmuran dapat dinikmati bersama.

Hadith Sahih Muslim:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنْ النَّارِ وَيَدْخُلَ الْجَنَّةَ فَلْتُدْرِكْهُ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْتِي إِلَى النَّاسِ مَا يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang suka diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah datang kematiannya dalam keadaan dia beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Dia juga memperlakukan manusia sebagaimana dia suka manusia perlakukan kepadanya.”

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2019.

Dr. Fauziah Mohd Hasan (FRCOG, U.K)

-Secretary General of Global Womens Coalition for Al Quds and Palestine
-Member of ASEAN Coalition for Palestine
-Women’s Boat to Gaza 2016 Participant
-Board Member of Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
-Advisor to Rose2Rose Malaysia

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud