Print

Perutusan Aqsa Syarif Sempena Ulangtahun Ke-50 Tragedi An-Naksah (1967-2017)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Bagi umat Islam, bulan Jun 1967 merupakan tahap paling rendah dalam sejarah kerana Baitul Makdis dan Masjid al-Aqsa kembali terjajah setelah ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi kira-kira 1,000 tahun yang silam. Sempena ulangtahun ke-50 peristiwa hitam ini, Aqsa Syarif ingin mengajak rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk memperingati tragedi ini dan menginsafi hakikat penjajahan yang sedang menimpa kiblat pertama umat Islam di Palestin ini.

Sembilan belas tahun selepas tragedi Nakbah, rakyat Palestin dipaksa melalui satu lagi tragedi yang dikenali sebagai an-Naksah atau ‘Hari Kekalahan’. An-Naksah merujuk kepada 'Perang Enam Hari' yang berlangsung dari 5 hingga 10 Jun 1967 di antara negara-negara Arab dan rejim Zionis Israel. Dalam tempoh sesingkat enam hari ini, Palestin, Mesir dan Syria kehilangan wilayah mereka dan mengalami kemusnahan yang besar dari sudut ketenteraan. Palestin kehilangan baki 22% wilayah yang masih berbaki selepas perang 1948 - Baitul Makdis Timur, Tebing Barat, dan Gaza. Mesir kehilangan semenanjung Sinai dan Syria kehilangan Bukit Golan. Di akhir peperangan ini, Israel berjaya menguasai wilayah yang keluasannya tiga kali ganda lebih besar daripada wilayah yang dirampas pada tahun 1948.

Bagi umat Islam, 7 Jun 1967 adalah tarikh yang amat memilukan kerana pada tarikh tersebutlah Masjid al-Aqsa kembali terjajah. Tentera Israel memasuki Masjid al-Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap. Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan "Khaibar! Khaibar!" Mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW telah berjaya ditebus dengan jatuhnya Masjid al-Aqsa ke tangan Yahudi pada hari ini. Mereka menghina Rasulullah SAW dengan melaungkan: "Agama Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita!" (merujuk kepada negara-negara Arab yang mengalami kekalahan teruk dalam Perang 6 hari tersebut). Mereka bahkan mendabik dada mengatakan: "Tuhan bersama kami!"

Kejayaan Zionis Israel menguasai Masjid al-Aqsa ini telah memberi peluang kepada mereka untuk melakukan pelbagai perbuatan keji untuk merosak dan memusnahkan kiblat pertama umat Islam ini. Mereka telah memusnahkan laluan (pintu) Maghriba dan merobohkan semua rumah-rumah rakyat Palestin di Kuarters Maghribi yang menghadap Tembok Buraq (Western Wall) dan menukarnya menjadi satu perkarangan lapang bagi upacara keagamaan Yahudi. Tembok Buraq juga dirampas dan dijadikan sebagai ‘Kotel’ atau ‘Wailing wall/Tembok Ratapan’ orang-orang Yahudi. Mereka turut membina pelbagai rangkaian terowong di sekeliling dan di bawah masjid.

Selain itu, pada 26 Jun 1967 Israel turut mengisytiharkan penggabungan Baitul Maqdis barat (bahagian Baitul Maqdis yang ditawan pada tahun 1948) dan Baitul Maqdis timur (bahagian Baitul Maqdis yang mereka tawan dalam Perang 6 hari) dan menamakan Baitul Maqdis (Jerusalem) yang disatukan ini sebagai ibu negara abadi Israel yang tidak boleh dirunding buat selama-lamanya.

Semua tindakan ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi PBB. Sebelum PBB, Liga Bangsa-bangsa pada tahun 1930 telah mengiktiraf hak umat Islam ke atas seluruh bahagian Masjid al-Aqsa termasuk Tembok Buraq. Resolusi 476 dan 478 Majlis Keselamatan PBB (1980) pula menolak tindakan Israel untuk mengambil-alih dan mengubah status Baitul Makdis secara unilateral.

Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB pada 2 November 1967 memutuskan bahawa Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum perang 1967. Namun Israel telah menggunakan wilayah yang dirampasnya sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk mencipta perdamaian palsu melalui kaedah pertukaran wilayah (land swap). Hakikatnya Israel tidak pernah berniat untuk melepaskan mana-mana wilayah yang telah ditawan. Buktinya, sejak tahun 1967, Israel telah bergerak aktif membina penempatan-penempatan haram di seluruh Tebing Barat bahkan di sekeliling Kota Lama Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa. Perjanjian Damai Oslo yang ditandatangani pada tahun 1993 antara Israel dan Palestine Liberation Organization (PLO) juga tidak merencatkan aktiviti pembinaan penempatan haram tersebut. Keadaan ini berterusan sehingga kini walaupun pelbagai perjanjian telah dimeterai.

Bagi mengukuhkan lagi 'perang demografi' ini, Israel turut membina Tembok Pemisah (Separation or ‘Apartheid’ Wall) sepanjang 800 km dari utara ke selatan Tebing Barat untuk mengepung rakyat Palestin, membataskan pergerakan mereka dan menafikan pelbagai kemudahan asas termasuklah sumber air bersih untuk minuman dan mengairi ladang, perkhidmatan dan hak rawatan di hospital bahkan hak anak-anak Palestin untuk mendapatkan pendidikan. Tindakan yang sama dikenakan ke atas Gaza apabila ia dikepung dari laut, darat dan udara sejak tahun 2007 apabila Hamas berjaya menguasai Gaza selepas memenangi pilihanraya di Palestin. Semua ini dilakukan untuk melemahkan penentangan rakyat Palestin ke atas penjajahan Israel.

Tahun ini rejim Zionis Israel mendapat suntikan semangat dengan pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat. Donald Trump secara terang-terangan telah menyatakan kesediaan untuk memindahkan kedutaan Amerika di Israel ke Baitul Makdis sebagai pengiktirafan kepada hak Israel ke atas kota tersebut. Beberapa hari selepas lawatan Trump ke Tembok Buraq pada 22 Mei lalu, kerajaan Netanyahu tidak melepaskan peluang untuk menghantar mesej kepada umat Islam dengan tindakan biadap mengadakan mesyuarat kabinetnya di dalam terowong di bawah Masjid al-Aqsa. Aqsa Syarif mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif Trump dan Netanyahu ini.

Terbaru, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Mesir dan beberapa lagi sekutu mereka telah melancarkan boikot ke atas Qatar atas dakwaan Qatar telah merosakkan kestabilan serantau melalui bantuan-bantuan yang disalurkan kepada kumpulan-kumpulan yang dilabel sebagai pengganas seperti Hamas. Ini merupakan perkembangan yang sangat mendukacitakan kerana Hamas tidak sewajarnya digelar sebagai kumpulan pengganas. Hamas adalah kumpulan pejuang pembebasan Palestin yang hari ini mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Palestin. Mereka memenangi pilihanraya secara demokrasi dan telah banyak kali menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan perbezaan pendapat yang berlaku di meja rundingan secara konsensus. Sokongan Qatar kepada Hamas sebaliknya wajar dipuji kerana ia membantu membela nasib lebih 2 juta warga Gaza yang terkepung. Sumbangan Qatar ke Gaza telah berjaya mengelak berlakunya tragedi kemanusiaan yang lebih besar di sana. Tindakan memboikot Qatar hanya akan merugikan umat Islam dan menguntungkan Israel.

Bersempena dengan 50 tahun tragedi an-Naksah, Aqsa Syarif ingin mengajak semua pihak yang cintakan keamanan untuk bersatu dan melipatgandakan usaha menamatkan penjajahan ke atas Palestin. Tekanan perlu ditingkatkan ke atas Israel agar ia akur kepada tuntutan undang-undang antarabangsa. Dalam hal ini, Aqsa Syarif mengesyorkan agar orang ramai agar menyokong inisiatif gerakan Boycott, Divestment and Sanction (BDS) yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia. Inisiatif untuk memulau Israel daripada forum-forum dan badan-badan antarabangsa perlu diperhebat sebagai protes kepada sikap biadab Israel. Resolusi-resolusi juga PBB perlu dikuatkuasakan agar tidak tinggal sekadar persetujuan di atas kertas.

Aqsa Syarif ingin menegaskan bahawa jalan untuk menuju perdamaian di Timur Tengah dan di Palestin perlu bermula dengan pengunduran Israel daripada semua wilayah yang didudukinya dalam perang 6 hari atau sempadan 1967. Ini akan memangkin kepada berdirinya sebuah negara Palestin yang berdaulat berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin sesuai dengan pengiktirafan antarabangsa yang telah diberikan. Dalam waktu yang sama, hak rakyat Palestin untuk pulang ke negara mereka wajib dihormati sepenuhnya tanpa sebarang syarat sepertimana yang telah diputuskan melalui Resolusi 194 PBB (1948). Jika hak-hak asas ini dipenuhi, perdamaian dan rekonsiliasi akan mempunyai peluang yang cerah.

Aqsa Syarif juga ingin mengulangi pendirian negara dan rakyat Malaysia yang berdiri teguh bersama rakyat Palestin untuk tidak mengiktiraf negara Israel. Aqsa Syarif akan terus berjuang bagi mengembalikan hak rakyat Palestin, berdirinya sebuah negara Palestin yang merdeka dan pembebasan Masjid al-Aqsa sepenuhnya daripada cengkaman Zionis Israel.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor,
Pengerusi
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)


*Aqsa Syarif adalah agensi di bawah MyCARE

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud