Print

MyCARE Kutuk Pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis & Pembunuhan Rakyat Palestin di Gaza

on .

MyCARE menyifatkan tindakan ini sebagai tindakan provokasi yang hanya akan meningkatkan ketegangan dan mengundang malapetaka lebih besar ke atas penduduk Palestin khususnya menjelang ulangtahun ke-70 an-Nakbah; tragedi tahun 1948 yang menyaksikan pembunuhan dan pengusiran rakyat Palestin daripada kampung halaman mereka oleh militan Zionis dan penubuhan negara haram Israel di atas wilayah Palestin yang dirampas.

---

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)
15 Mei 2018 bersamaan 29 Syaaban 1439H

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis (Jerusalem) semalam kerana tindakan ini bertentangan dengan persetujuan antarabangsa terhadap status wilayah tersebut.

Resolusi ES‑10/L.22 Perhimpunan Agung PBB pada 21 Disember 2017 menyaksikan 128 buah negara (termasuk Malaysia) mengambil pendirian tegas menolak pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat sepertimana yang diumumkan oleh Presiden Trump pada akhir tahun lalu.

MyCARE menyifatkan tindakan ini sebagai tindakan provokasi yang hanya akan meningkatkan ketegangan dan mengundang malapetaka lebih besar ke atas penduduk Palestin khususnya menjelang ulangtahun ke-70 an-Nakbah; tragedi tahun 1948 yang menyaksikan pembunuhan dan pengusiran rakyat Palestin daripada kampung halaman mereka oleh militan Zionis dan penubuhan negara haram Israel di atas wilayah Palestin yang dirampas.

Ketegangan telah pun tercetus sejak 30 Mac 2018 apabila kempen ‘Perarakan Pulang Besar-besaran/The Great Return March’ (GRM) yang dilancarkan oleh rakyat Palestin untuk menuntut hak mereka kembali ke kampung halaman bertukar menjadi lapang sasar oleh rejim Zionis Israel yang menembak peserta perhimpunan dengan kejam. Semalam sahaja, sekurang-kurangnya 53 orang dilaporkan telah terkorban dan lebih 1,900 orang cedera akibat kekejaman Zionis Israel ini.

MyCARE menegaskan sekali lagi, sepertimana yang telah ditegaskan dalam memorandum yang dihantar ke Kedutaan AS di Malaysia ketika Perhimpunan Aman pada 13 April 2018, bahawa kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membunuh rakyat Palestin yang berhimpun secara aman menuntut hak mereka. Pembunuhan secara terang-terangan ini perlu dihentikan serta-merta.

MyCARE mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Zionis Israel ke atas rakyat Palestin dan menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin melalui pelbagai inisiatif sama ada perhimpunan aman, memorandum bantahan dan pemerkasaan kempen boikot Israel.

MyCARE menggesa pihak kerajaan Pakatan Harapan yang baru mendapat mandat daripada rakyat Malaysia untuk segera melaksanakan janji manifesto mereka untuk membela nasib rakyat Palestin daripada kekejaman Zionis Israel melalui saluran diplomatik yang sesuai.

MyCARE menyeru AS menghentikan sokongan membuta-tuli kepada rejim Zionis Israel dan mengambil sikap lebih kritikal ke atas jenayah dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel.

MyCARE menggesa pihak antarabangsa supaya tidak menurut jejak langkah AS memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis. Pihak antarabangsa juga perlu mengenakan tekanan kepada rejim Zionis Israel agar menghentikan pembunuhan ke atas rakyat Palestin, menghormati undang-undang antarabangsa dan mengembalikan hak rakyat Palestin.

Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud