Print

KENYATAAN MEDIA: MyCARE Sertai Misi Women’s Boat To Gaza (WBG) 2016

on .

Sedar atau tidak, kepungan rejim Zionis Israel ke atas Gaza kini sudah masuk tahun ke-10. Gaza ibarat sebuah penjara terbesar di dunia dengan jumlah tahanan hampir 2 juta orang! Kepungan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza ini telah menyebabkan aktivis kemanusiaan antarabangsa lahir dengan pelbagai inisiatif untuk memaklumkan kepada dunia tentang kezaliman yang berlaku dan berusaha menghentikannya. Salah satunya adalah dengan belayar ke Gaza menggunakan bot dan kapal. Bermula dengan misi-misi kecil menggunakan bot nelayan, inisiatif ini kemudian berkembang dengan sangat baik sehingga berjaya mengumpulkan beberapa organisasi besar seperti IHH Humanitarian Relief Foundation, European Campaign to End the Siege of Gaza, International Coalition to End the Siege on Gaza, Ship to Gaza Sweden dan Ship to Gaza Greece. Daripada perkumpulan ini lahirlah The Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Pada tahun 2010, FFC mendapat perhatian dunia apabila flotilanya yang pertama (Freedom Flotilla 1, FF1) diserang oleh komando rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa menyebabkan 10 orang terkorban dan berpuluh lagi cedera. Salah satu kapalnya (Mavi Marmara) telah ditawan dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod sementara ratusan anak kapalnya ditahan dan dipenjarakan sebelum dibenarkan pulang ke negara masing-masing.

 
Tragedi Mavi Marmara tidak sekali-kali membantutkan inisiatif ini. Sebaliknya, FFC dan ahli koalisinya telah mempergiat lagi usaha merempuh kepungan rejim Zionis Israel ke atas Gaza melalui Freedom Flotilla 2 dan 3 (masing-masing pada 2011 dan 2015).
 
Pada tahun ini, FFC melancarkan satu inisiatif baru iaitu 'Women’s Boat to Gaza' (WBG). Berbeza dengan misi-misi sebelum ini, WBG melibatkan pelayar dari kalangan aktivis kemanusiaan wanita sahaja sebagai tanda solidariti kepada wanita-wanita Palestin yang turut sama berjuang menentang kezaliman rejim Zionis Israel. Sebuah kapal dengan nama 'Amal-Hope' telah siap sedia untuk belayar dari Barcelona, Sepanyol pada 14 September nanti.
 
Hari ini, MyCARE dengan sukacita ingin memaklumkan secara rasmi bahawa Dr. Fauziah Mohd Hasan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, merangkap Penasihat Rose2Rose (R2R), salah satu agensi di bawah MyCARE, telah terpilih sebagai salah seorang daripada 20 orang anak kapal WBG. Dengan pemilihan ini, Dr. Fauziah secara tidak langsung akan mewakili rantau Asia Tenggara khususnya dan negara-negara Islam amnya dalam misi ini.
 
Dr. Fauziah sememangnya layak menerima pengiktirafan ini. Kepakaran beliau dalam bidang O&G dan cintanya kepada kerja-kerja kemanusiaan telah membawa beliau berkhidmat di Kosovo (1999), Maluku (2000), Afghanistan (2001, 2002, 2003), Aceh (2005), Pakistan (2005) dan Gaza (2009) ketika bersama MERCY Malaysia sebelum ini. Apabila Aqsa Syarif ditubuhkan pada 2010, beliau diberi kepercayaan sebagai Timbalan Pengerusi. Terpanggil untuk memberi fokus kepada pembelaan golongan wanita dan kanak-kanak, beliau kemudian mengetuai usaha mengasaskan Rose2Rose (R2R). Kerja keras beliau melalui R2R begitu signifikan sehingga beliau dinobatkan sebagai 'Tokoh Aktivis Kemanusiaan' oleh International Coalition for Jerusalem and Palestine pada tahun 2014. Di MyCARE, beliau terus mengepalai pelbagai inisiatif dan menjadi sumber inspirasi kepada kami semua. Penglibatan dalam WBG akan menjadi satu lagi batu tanda pencapaian cemerlang beliau dalam khidmat kemanusiaan.
 
Selain beliau, misi ini akan turut disertai oleh Mairead Maguire (Pemenang Anugerah Nobel 1976, Northern Ireland), Marama Davidson (Ahli Parlimen, Green Party, New Zealand/Aortearoa) Naomi Wallace (Pengarah dan Penulis Skrip, USA), Gerd von der Lippe (Atlet, Ahli Akademik dan Aktivis, Norway) dan Cigdem Topçuoglu (Jurulatih dan Atlet Turki; suaminya adalah salah seorang aktivis yang terkorban dalam tragedi Mavi Marmara).
 
Penyertaan MyCARE dalam WBG merupakan satu lagi usaha berterusan kami untuk membantu rakyat Palestin. Sejak penubuhan Aqsa Syarif (kini agensi di bawah MyCARE) pada tahun 2010, kami telah bersama-sama komuniti antarabangsa dalam usaha meruntuhkan kepungan rejim Zionis Israel ke atas Gaza. Bermula dengan menghantar 2 orang wakil menyertai Mavi Marmara pada Mei 2010, MyCARE kemudian menghantar 6 orang aktivis untuk menyertai konvoi darat Viva Palestina 5 (VP5) yang bergerak dari London merentas Eropah menuju ke Gaza pada September 2010.
 
Penyertaan MyCARE dalam inisiatif-inisiatif antarabangsa ini telah menjadi pemangkin kepada misi-misi MyCARE ke Gaza pada tahun-tahun berikutnya. Sehingga kini, MyCARE melalui Aqsa Syarif telah berjaya menghantar 17 misi ke Gaza yang dikenali sebagai Misi Aqsa2Gaza (A2G). Malah, perkembangan pesat projek-projek Aqsa Syarif di Gaza telah menjemput kami untuk menubuhkan sebuah pejabat serantau di Gaza pada tahun 2013. Penubuhan pejabat ini telah banyak melicinkan proses penyaluran dan pemantauan bantuan kemanusiaan MyCARE ke Gaza terutama selepas Mesir memperketat sempadannya di Rafah.
 
MyCARE mengucapkan jutaan terima kasih kepada FFC dan Miles of Smiles (MOS) atas kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan melalui pemilihan Dr. Fauziah sebagai ahli misi WBG. Sesungguhnya, ia juga adalah pengiktirafan kepada seluruh rakyat Malaysia. Justeru, MyCARE menyeru semua rakyat Malaysia mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan solidariti dan sokongan kita kepada rakyat Palestin dengan memperhebat dan memperbanyak penganjuran kempen dan program bertemakan Palestin serta melancarkan tabung sumbangan khusus untuk Palestin. MyCARE siap sedia membantu anda semua dalam hal ini agar impak kempen, program dan sebarang inisiatif yang disusun akan lebih berkesan.
 
*Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada aktiviti bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara. Ia mempunyai 6 agensi iaitu Aqsa Syarif, IKRAM for SYRIA • i4s, Salam Iraq, Nusantara Care (NICE), Rose2Rose (R2R) dan Palestine Centre of Excellence - PACE.
 
'Nurturing Humanity, Making a Difference'
 
PROF. MADYA DR. HAFIDZI MOHD NOOR,
Pengerusi
Lembaga Pemegang Amanah MyCARE
Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud