Print

Aqsa Syarif WP anjur Palestinian Buddies Hop-On Hop-Off

on .


Kuala Lumpur, 14 Januari 2012 - Alhamdulillah, puji dan syukur ke atas Allah SWT dengan izinnya Program Palestinian Buddies Hop-On Hop-Off (PB-HOHO) telah berakhir dengan jayanya.

Program yang melibatkan lebih 100 kanak-kanak terdiri daripada anak-anak IKRAM Wilayah Persekutuan (WP), warga Palestin dari PCOM, dan pelajar Sekolah Rendah Islam Al-Amin (SRIAA) WP serta lebih 20 orang fasilitator telah dirasmikan oleh YDP IKRAM WP Prof. Dr. Sahrim Ahmad di kawasan letak kereta Masjid Negara kira-kira jam 9 pagi seusai sarapan. Turut berucap ialah Pengurus Besar Aqsa Syarif, En. Muhamad Munawer Ismail dan Pengarah Program,  Saudara Muhammad Mundzir Mohamed Hatta dengan majlis dipengerusikan oleh Saudara 'Ammar Sahrim. Turut hadir adalah Pengurus Aqsa Syarif WP, En. Zaharudin Othman dan wakil Wanita IKRAM WP, Puan Julie.

 

Peserta dilepaskan menaiki 3 buah bas serta beberapa kereta dengan paluan kompang oleh pelajar-pelajar SRIAA Gombak menuju ke Taman Tasik Perdana dimana aktiviti persembahan berkumpulan dan edaran brosur dilakukan. Aktiviti-aktiviti ini berjaya menarik perhatian pengunjung yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak berlatar belakangkan pelbagai bangsa dan agama. Peserta kemudiannya diberi peluang beraktiviti bebas sambil mengedarkan ais krim kepada pengunjung.

Rombongan program seterusnya bergerak ke Masjid KLCC untuk makan tengahari dan bersiar sambil mempromosikan kesedaran Palestin di Taman KLCC. Niat murni peserta untuk menggunakan kain rentang Palestin untuk tujuan ini ketika bersiar terbantut apabila dihalang oleh pengawal keselamatan, tidak apa asalkan mencuba. Selepas mendengar tazkirah dan mendirikan solat Zohor peserta kemudiannya ke Perpustakaan Kanak-kanak Kuala Lumpur di Dataran Merdeka di mana mereka sekali lagi membuat persembahan berkumpulan dan menonton klip video Palestin.

Program berakhir kira-kira jam 4.15 petang dengan ucapan Penolong Pengarah Program Ustazah Siti Alawiah Sahri serta acara simbolik penyerahan tabung Palestin daripada IKRAM dan Aqsa Syarif kepada wakil PCOM. Seusai bergambar kenang-kenangan di hadapan perpustakaan peserta kemudiannya kembali ke Masjid Negara untuk solat Ásar dan bersurai.

Jazakumullahu khairan katheera kepada semua AJK yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran program dan kepada ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka menjadi peserta. Ucapan penghargaan juga kepada penaja-penaja yang budiman baik di kalangan institusi, syarikat, atau individu yang membolehkan program berjalan dengan lancar. Penghargaan istimewa kepada pasangan Ammar Mohd Zain dan Anfaal Saari (yang juga koordinator sepanjang program berlangsung) yang telah membuahkan idea asal konsep program ini beserta kertas kerja yang kemudiannya diaplikasi kepada program yang bersejarah ini.

Untuk makluman, program ini telah mendapat liputan TV AlHijrah dan Bernama Radio 24 menerusi temuramah yang telah diadakan dan liputan aktiviti program di dalam rancangan Assalamualaikum di TV AlHijrah.

Insya Allah, moga program ini mencapai objektifnya dan moga kerjasama ini membuka lagi ruang dan peluang untuk Aqsa Syarif, IKRAM Junior, serta badan-badan / institusi-institusi lain di bawah IKRAM terus tangkas berkolaborasi memastikan misi dakwah dan tarbiyyah kita terlaksana.

Muhammad Mundzir Mohamed Hatta


Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud