Print

Tazkirah Imam Muda Gaza di Masjid Sungai Ramal Luar

on .

KAJANG, 11 Jul 2013 – Sekretariat Aqsa Syarif Kajang telah membawa Imam Muda Gaza - Imam Ahmad Ibrahim Muhammad Tsabit, 22, ke Masjid Sg. Ramal Luar semalam. Imam Ahmad akan mengimami beberapa buah masjid dan surau di sekitar Kajang sepanjang 10-14 Julai 2013 ini.

Imam Ahmad telah mengimamkan Solat Isya` serta menyertai tahlil ringkas untuk warga qariah yang telah meninggal dunia. Setelah itu, Imam Ahmad telah mengimamkan solat terawih di Masjid Sg. Ramal Luar ini yang dianggarkan dihadiri seramai 300 orang. Imam Ahmad juga telah menyampaikan tazkirah ringkas setelah 4 rakaat solat terawih. Antara isi tazkirahnya, Imam Ahmad memberi pencerahan kepada ahli qariah tentang pentingnya kita untuk berganding bahu membantu rakyat Palestin terutama apabila beliau menyentuh isu semasa yang sedang berlaku di Negara Mesir sehingga memberi kesan kepada satu-satunya pintu masuk ke tanah airnya, kerana pintu Rafah disekat oleh pemerintahan tentera Mesir sekarang.

Kata Imam Ahmad lagi, perjalanan sepanjang 3 hari untuk sampai ke Malaysia agak `panjang` dan perlu melalui pemeriksaan di dalam tahanan selama hampir 25 jam di sempadan Rafah . Kemudiaannya beliau dan sahabat imam yang lain perlu terbang ke Malaysia selama hampir 15 jam. Namun, perasaan sebelumnya tidak terasa lagi buat kesemua imam kerana rasa cinta mereka ingin bertemu dengan rakyat Malaysia yang telah membantu rakyat Palestin selama ini. Tambahnya lagi, “Jika beliau perlu berjalan kaki untuk ke Malaysia, bertemu dan berkongsi cerita sebenar apa yang terjadi di Palestin kepada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin pun, beliau sanggup.”

Imam Ahmad, 22, merupakan imam termuda antara 14 Imam Muda Gaza yang dibawa khas oleh Aqsa Syarif untuk menjadi imam terawih di sepanjang Ramadhan kali ini. Imam Ahmad merupakan seorang jurutera dan telah menghafaz Al-Quran hanya dalam masa 25 hari. Kini beliau ditugaskan untuk menjadi imam beberapa buah masjid dan surau sekitar Selangor selama sebulan beliau berada di Malaysia. Anda boleh melihat jadual Imam Ahmad dan imam-imam Gaza yang lain di laman Facebook ‘Imam Gaza Aqsa Syarif 2013’.

Jumlah kutipan tabung Palestin di Masjid Sg. Ramal Luar semalam adalah sebanyak RM 1,741.00. Terima kasih kepada semua penyumbang. Semoga Allah SWT merahmati setiap sumbangan anda dan memberkati Ramadhan tuan/puan Insya`Allah.

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud