Print

Slot Wanita & Palestin sempena program Penghayatan Ramadan Wanita Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kelambu

on .

Banting, 4 Ogos 2012 - Alhamdulillah telah berlangsung program berkenaan yang merupakan anjuran bersama JKK Kampung Sungai Kelambu dan Biro Wanita Masjid Ar-Raudah, Kampung Sungai Kelambu serta IKRAM dan Aqsa Syarif Kuala Langat. Program yang dihadiri lebih 70 orang ini dimulakan dengan Solat Dhuha dan Hajat, kemudian peserta dibahagikan kepada kumpulan tadarus dan majlis khatam al-Quran.

 

Pengisian Wanita & Palestin kemudiannya disampaikan lebih 1 jam oleh Ukhti Norhasyimah Ismail, Pegawai Projek Aqsa Syarif Pusat berjaya menarik minat peserta dengan perkongsian kisah dan pengalaman yang dilalui sendiri semasa menyertai misi AG2G yang lalu. Paparan gambar-gambar serta video yang diambil sendiri, benar-benar memberikan kesan kepada jiwa hadirin.

Seusai ceramah, peserta mengerumuni pameran dan gerai Aqsa Syarif yang disediakan. Seorang peserta asyik membelek-belek hasil kraf iaitu sarung bantal hasilan tangan wanita Palestin yang berharga RM 200.00, "Makcik tak ada duit la, boleh tak minta izin nak cium sarung bantal ni? Sekurang-kurangnya dapat mencium bau tangan wanita Palestin yang hebat dan tabah tu...." itulah antara bait kata yang menyentuh hati petugas.

Memang diakui, cenderamata yang dibawa khas dari Palestin memang cantik dan menarik tetapi harganya agak mahal, yang paling murah ialah key chain berharga RM 15.00 menyebabkan peserta yang kebanyakannya suri rumah dan bekerja kebun hanya membelek-belek sahaja cenderamata berkenaan. Walau bagaimanapun jumlah derma yang berjaya dikutip melalui program ini amat menggalakkan iaitu berjumlah RM 1170.00 berbanding jualan hanya berjumlah RM 299.00 sahaja.

Cikgu Yusri
Ketua Sekretariat
Aqsa Syarif Kuala Langat

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud