Print

Malam Keamanan Palestin di Universiti Malaya

on .

Jumaat, 23 Mac 2012 - Persatuan Bahasa Arab Universiti Malaya telah mengadakan majlis Malam Keamanan Palestin di Dewan Angsana, Fakulti Bahasa & Linguistik. Alhamdulillah, dengan kerjasama dari Aqsa Syarif Berhad, majlis ini dapat dijalankan dengan baik.

Majlis yang berlangsung dari jam 8:30 malam sehingga 11:30 malam itu dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan ucapan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif Berhad, Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor. Sejurus selepas selesainya ucapan oleh Dr. Hafidzi, demo tabung Aqsa Syarif dilancarkan pada malam itu.

 

Majlis pada malam itu diteruskan dengan tayangan video mengenai dunia Palestin. Tayangan video yang dipaparkan mengenai keadaan Palestin pada masa ini cukup memberi kesan kepada para hadirin dan tetamu pada malam itu. Tidak rasa puas dengan hanya tontonan video, majlis menjemput Pengurus Besar Aqsa Syarif, Encik Muhamad Munawer Ismail untuk menyampaikan sajak. Sebuah sajak yang disampaikan dengan penuh perasaan membuatkan hadirin dan tetamu turut sama merasakan bahawa betapa peritnya kehidupan umat-umat Islam di Palestin melalui kehidupan mereka di sana. Sajak itu juga membawa maksud betapa pentingnya umat Islam yang berada di dunia ini untuk menghulurkan bantuan kepada warga Palestin yang ditimpa musibah dari hari ke hari dan berterusan dengan pelbagai penyeksaan.

Selesai sahaja mendeklamasikan sajak, majlis terus mengajak para tetamu untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai dunia Palestin melalui bicarawara yang bertajuk, “Palestin: Apa Sebenarnya?” Bicarawara selama 1 jam yang disampaikan oleh dua ahli panel dari Aqsa Syarif Berhad iaitu Dr. Hafidzi dan Puan Noorazian Anidin serta moderator Ridhwan Sarmidi. Info-info mengenai dunia Palestin dan juga pengalaman yang dikongsi oleh dua ahli panel menarik perhatian para hadirin dan tetamu.

Majlis pada malam itu dimeriahkan lagi dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Al-Hararr yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa Universiti Malaya. Nasyid yang disampaikan itu sesuai dengan majlis Malam Keamanan Palestin yang memberi semangat dan kekuatan kepada tetamu untuk terus memberi sumbangan kepada saudara di Palestin disampaikan dengan baik.

Sebelum majlis sampai ke penghujungya, cenderahati berbalas tanda terima kasih disampaikan antara Aqsa Syarif Berhad serta dua ahli panel dan Persatuan Bahasa Arab Universiti Malaya. Pada jam 11:45 malam, selesai sudah majlis Malam Keamanan Palestin. Para jemputan kehormat dijemput untuk menjamu selera dengan jamuan yang telah disediakan.

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud