Print

Aqsa Syarif memeriahkan Sambutan 1 Dekad STAIL dan SMART

on .

5 Mac 2011 di Kampung Tok Bedu, Tasik Gelugor, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang telah berlangsung aktiviti besar anjuran Sekolah Tahfiz Al-Islah (STAIL) bagi menyambut 1 dekad penubuhannya. STAIL mula ditubuhkan pada 1 Januari 2000 di dua buah rumah di Taman Tok Bedu sumbangan sepasang suami isteri kedua-duanya guru yang telah bersara. Kemurahan hati mereka berdua sungguhlah tinggi nilainya. Insya Allah mereka berdualah orang yang paling "kaya-raya" di sisi Allah.

Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar (lulusan Al-Azhar) bersama isterinya, Wardatul Iman Sidu (keturunan Sikh) berkelulusan Bahasa Inggeris adalah dua orang hamba Allah yang mula mewakafkan diri mereka yang baru mendirikan rumah tangga itu untuk membangunkan STAIL dengan bilangan pelajar pra-tahfiz (5 dan 6 tahun).

Dengan pengemblingan Ahli Lembaga Sekolah (ALS) dari pelbagai latar belakang seperti pensyarah universiti, guru, kontraktor dan pentadbir, STAIL terus berkembang secara bilangan belajar dan kawasan fizikalnya yang menyebabkan beberapa rumah berdekatan dibeli dan disewa. STAIL berdaftar dengan MUSLEH dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang. STAIL menawarkan sistem pendidikan integrasi Tahfiz, Deeniyah & Akademik.

Kini setelah 10 tahun beroperasi, STAIL berkembang menawarkan sekolah menengah yang digelar Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART) dan memiliki tanah dan bangunan empat tingkat hasil sumbangan ibu bapa, kerajaan negeri dan ahli-ahli korporat.

 

Sambutan 1 dekad STAIL & SMART diserikan dengan pelbagai aktiviti pameran, jualan dan aktiviti pentas. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Aqsa Syarif Sekretariat Pulau Pinang telah mengadakan pameran dan kutipan dana untuk  membangunkan semula Gaza. Saudara Haris turut kelihatan bertungkus lumus di pameran Aqsa Syarif. Bertambah meriah lagi Sambutan 1 Dekad STAIL dan SMART. Anak-anak dan para pengunjung mendapat banyak manfaat dari pamiran Aqsa Syarif di samping menghulurkan sumbangan bagi pembangunan semula Gaza.

Mengenai kejayaan STAIL dan SMART, tahniah kepada dermawan, para mualim, mualimah, staf, ibu bapa dan alumni STAIL serta murid-murid dan masyarakat setempat.

Tahniah kepada kesemua murabbi di STAIL & SMART. Teruskan amal, tingkatkan keikhlasan. Antum bakal menerima habuan kenikmatan dari Allah yang tidak terhingga seandainya curahan didikan antum semua kepada anak-anak STAIL dan SMART dilaksanakan dengan penuh komitmen dan keikhlasan kerana Allah.

Beramallah

"Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)". "Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang." (Al-Maidah:55-56).

Sebagai hamba Allah, kita dituntut Allah nanti untuk menjawab segala persoalan tentang hidup kita di dunia. Tentang masa kita, tentang umur kita, tentang harta kita, tentang akal/pemikiran kita, tentang pekerjaan dan amal kita, tentang apa jua yang memenuhi kehidupan kita dari sebesar-besar keputusan hingga kesehalus-halusnya di dalam kehidupan kita.

Apakah kita dapat menjawabnya nanti dihadapan Allah? Ketika itu tiada lagi peluang untuk kita undur kebelakang walaupun hanya setapak.

Oleh itu ayuh, teruslah beramal. Jangan lagi ditoleh ke kanan mahupun ke kiri. Lihatlah ke hadapan yang masih mengundung tugasan dan kewajipan. Yang masih menimbun masalah sosial, ekonomi, politik, kekeluargaan dan apa sahaja di dalam hidup yang masih bersimpang-siur ini.

Sudah terlalu ramai manusia bercakap, dari kedai kopi hingga ke dewan Parlimen. Sudah banyak kajian dan banyak lagi penyelidikan akan dilakukan yang akan membelanjakan berbilion ringgit! Persoalannya apakah formula, jawapan dan penyelesaiannya?

Jalan yang ditempuh Rasulullah SAW bersama jamaahnya para sahabat Radiallahu 'Anhum lebih 1400 tahun yang lalu begitu jelas dan terang. Bukan sekadar politik kampungan atau perkauman di Mekah ketika itu, malah gergasi Rom dan Farsi pun telah mampu ditangani dan ditundukkan!

Apakah rahsia mereka?

"Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).

Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (Bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat. Lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikutnya berkembang-biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar." (Al-Fath:29)

Juga Al-Maidah 55-56.

"(Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayat petunjuk) dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya. sesungguhnya Allah (dengan yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian." (At-Talaq:11)

"Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya). Sesungguhnya Kami tetap membalas orang-orang yang berdosa (apa lagi orang-orang yang lebih zalim)." (As-Sajdah:22).

Institusi Pendidikan Islam yang syumul sangat-sangat diperlukan pada hari ini. Bangunkanlah, suburkanlah, semarakkanlah, perkasakanlah. Carilah apa jua kemungkinan, kesanggupan, sokongan dan dokongan.

Sesungguhnya STAIL tidak mengatahui apa yang akan terjadi pada dirinya 10 tahun kehadapan pada hari pertama ia membuka pintunya untuk anak-anak yang bersih melangkah memasukinya.

Kini STAIL baru tahu setelah ia melangkah 10 tahun.

Apakah yang akan berlaku di STAIL 10 tahun akan datang? Wallhu 'alam. Tetapi warganya dan semua stakeholders STAIL MESTI TERUS BERAMAL dengan ikhlas dan betul, insya Allah.

Maklumat lanjut:

http://www.stailsmart.edu.my/
http://www.facebook.com/profile.php?id=100001081968399
http://abufarwah.blogspot.com/2009/07/gambar-gambar-kenangan-ketika-awal.html

[youtube AXWQPjpCfGk 500 250]

Comments   

 
0 #2 admin 2012-12-07 22:29
Saudari boleh mendapatkan maklumat berkenaan dengan melawati laman web STAILSMART di http://www.stailsmart.edu.my/v3/index.php. Boleh bertanya menerusi telefon atau FB mereka. Terima kasih.
Quote
 
 
-1 #1 Nor Azlinda Binti Yaakob 2012-12-07 18:45
Sekadar bertanya.. apakah syarat2 untuk masuk SMART..? Jika ada asas agama dan boleh mengaji.. boleh kah memohon di sekolah ini. Trima kasih.
Quote
 

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud