Print

Program latihan Training of Palestine Speakers (TOPS) Negeri Sembilan 2011

on .

Latihan untuk penceramah Palestin atau Training of Palestine Speakers (TOPS) Negeri Sembilan telah berlangsung pada 16 Julai 2011 di pejabat Pertubuhan IKRAM Negeri Sembilan, Dataran Senawang. Kehadiran peserta terdiri dari anak-anak muda dan dua orang wakil dari IKRAM Melaka yang kesemuanya berjumlah 28 orang. Sesi latihan di isi oleh pakar isu Palestin iaitu Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang juga pengerusi Aqsa Syarif. Beliau telah menyampaikan ceramah meliputi topik sejarah, pandangan Islam dan kesan perkembangan Timur Tengah terhadap Palestin.

Di antara tips yang diberikan oleh Dr. Hafidzi dalam rangka menjadi penceramah Palestin yang berwibawa ialah menanamkan rasa cinta pendengar kepada Al-Aqsa, meredamkan perasaan dengan isu Palestin, memahamkan umat tentang Al-Aqsa sebagai tanah suci bukan sebagai ‘rituals’ tetapi sebagai satu kehidupan dan mengajak peserta TOPS mewakafkan diri untuk Al-Aqsa. Dr. Hafidzi juga menekankan agar bakal penceramah Palestin mempunyai pemahaman sejarah yang mantap, memantau perubahan yang berlaku di bumi anbia’ tersebut dengan penuh minat dan mengambil amanah memperjuangkan isu Palestin sebagai tanggungjawab peribadi.

 

Para peserta juga mendapat suntikan dengan kehadiran wakil Welfare Association of the Palestinians and the Lebanese (WAFRAH) iaitu Br. Wassim Taha dan Malek Barghout. Br. Wassim Taha telah memberikan kata-kata semangat bahawa projek Keluarga Miskin adalah sebahagian dari misi memperjuang dan memenangkan Islam di Palestin. Beliau menyatakan dalam peperangan akan terdapat mereka yang syahid, cedera dan dijadikan tawanan. Oleh itu perlukan seseorang memberi bantuan kepada mereka.

Oleh itu Aqsa Syarif dan WAFRAH mempunyai peranan dalam merawat luka-luka tersebut. Beliau memohon para peserta memikirkan apakah akan ada isteri-isteri yang sanggup melepaskan suami mereka ke medan jihad sekiranya anak yatim atau balu-balu syuhada’ tidak diberikan bantuan. Peranan yang dimainkan oleh Aqsa Syarif dan WAFRAH bukan tertumpu terhadap orang miskin atau anak yatim tetapi juga dalam rangka perjuangan yang lebih besar iaitu membebaskan Al-Aqsa dan berjuang menentang Zionis Israel.

Di sebelah petangnya pula para peserta ‘dihidangkan’ pula dengan ceramah Teknik Penyampaian Berkesan oleh Dr. Tengku Shahrom atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. T selama lebih dari dua jam. Dr. T memulakan ceramah dengan menekankan taqwa sebagai jalan penyelesaian terhadap apa juga permasalahan kehidupan. Beliau juga menegaskan bahawa penyampaian yang berkesan merupakan satu pakej iaitu bermula sebelum, semasa dan selepas penyampaian. Tips paling utama yang disampaikan ialah konsep 3P iaitu prepare, practice, present. Kunci kepada penyampaian yang baik ialah persediaan yang sempurna.

Beliau juga meyakinkan peserta bahawa bercakap di khalayak ramai adalah mudah apabila penyampai memperoleh hak untuk bercakap (earn the right), bersemangat tentang subjek (enthusiastic & excited about the subject) dan bersungguh-sungguh untuk berkongsi (eager to share). Di akhir penyampaian, Dr. T memperingatkan peserta supaya ikhlas bagi mendapatkan ganjaran dalam memenangkan agama Allah.

Di sebelah malamnya para peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan untuk membuat persediaan membuat penyampaian selama 10 minit berdasarkan sasaran audien seperti wanita, golongan bukan Islam, tentera dan warga kilang. Ia disusuli dengan penyampaian selama 10 minit setiap kumpulan dan diikuti oleh ulasan dari peserta dan fasilitator. Para peserta juga telah berbincang untuk merangka strategi ke arah menjadi penceramah Palestin yang baik. Di antaranya ialah memberikan penyampaian dalam kumpulan usrah, ahli keluarga dan mengikuti ceramah yang disampaikan oleh penceramah yang lebih senior. TOPS NS 2011 kali ini juga telah berjaya membentuk dua pasukan penceramah iaitu pelajar-pelajar USIM dan pemuda IKRAM NS. Acara penutup TOPS NS 2011 ialah penyampaian sijil penyertaan dan ‘mafler’ kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan.

Beberapa cadangan diberikan oleh peserta untuk memperbaiki TOPS pada masa-masa akan datang. Di antaranya ialah memanjangkan tempoh latihan, mewujudkan group dalam Facebook/emel, menambah masa untuk bengkel dan pembentangan serta membuka program kepada bukan ahli. Diharapkan TOPS NS 2011 dapat melahirkan pendakwah dan penceramah Palestin yang berkaliber dalam masa terdekat.

Disediakan oleh,
Shamsuri Abdullah
Pengarah Program TOPS NS 2011


Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud