Print

Politeknik Port Dickson anjur Expresi Gaza 2012: Arts for Freedom – Towards The Freedom of Aqsa Mosque

on .


Aqsa Syarif merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Ilahi kerana diberi ruang untuk bersama terlibat di dalam penganjuran program Expresi Gaza 2012 – Arts for Freedom – Towards The Freedom of Aqsa Mosque. Program ini diilhamkan dan dianjurkan oleh Unit Senibina Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Sesungguhnya apa yang diusahakan oleh Unit Senibina, Politeknik Port Dickson dan seluruh warganya adalah suatu yang mulia, terpuji dan unik.

 

Pada hari Isnin, 2 Julai 2012 telah berlangsung sidang media di politeknik tersebut dan pengarah Politeknik Port Dickson sendiri iaitu Yang Berbahagia Major Tuan Haji Khairi Ibrahim dengan dibantu pengarah Expresi Gaza 2012, Yang Berbahagia Dr. Isham Shah Hassan (Pensyarah Senibina di Politeknik PD). Turut hadir ialah ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif, Yang Berbahagia Prof Madya Dr. Mohd Zin Kandar.


Program yang julung kali ini akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan. Pelbagai aktiviti yang menjurus kepada 3 tujuan utama telah dijelaskan oleh Pengarah Politiknik iaitu;

1. Menggalakkan kreativiti melalui matlamat transformasi di dalam pendidikan
2. Menyebarkan kesedaran Palestin
3. Mengumpu dana untuk membantu rakyat Palestin


Tuan Pengarah juga berbangga dengan inisiatif Unit Senibina yang mempunyai inisiatif murni menganjurkan program ini. Progam ini juga akan cuba dikembangkan untuk dilaksanakan oleh politeknik-politeknik seluruh Malaysia.

Pelbagai acara akan dijalankan bersempena Expresi Gaza 2012 ini dan pihak politeknik telah membuat persiapan yang pelbagai termasuk pengumpulan sumbangan-sumbangan dalam bentuk pakaian, makanan, permainan kanak-kanak dan sebagainya untuk dijual di dalam program tersebut.


Bagi pihak Aqsa Syarif, pelbagai bantuan dan kerjasama akan diberikan dan program Expresi Gaza 2012 menjadi wahana untuk mereka yang memiliki jiwa seni mengekspresi kecintaan dan pembelaannya ke atas rakyat Palestin dan Baitul Maqdis dan simbol-simbol sejarah dan agama yang sudah sekian lama terjajah dan terancam oleh tangan-tangan jahat dan rakus rejim anti kemanusiaan Zionis Israel.

Melalui penghasilan produk-produk seni, kalangan penggiat seni bolih menyatakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin. Produk seni yang mereka hasilkan juga boleh menjadi medium untuk membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai bentuk kezaliman dan penindasan yang dideritai oleh rakyat Palestin sejak 65 tahun yang lalu. Hasil-hasil seni ini bukan sahaja dapat menyampaikan apa yang tersurat dan tersirat, bahkan boleh dimiliki dan dipamerkan di ruang tamu atau di pejabat oleh peminat seni dan penderma, sekaligus menyambung usaha membina kesedaran dan kepekaan terhadap isu perjuangan pembebasan Palestin kepada segmen masyarakat yang lebih besar. Semestinya produk seni yang mengalir dari jiwa keindahan penggiat seni ini menjadi saksi pengorbanan dan sumbangan mereka terhadap perjuangan Palestin.



Aqsa Syarif setakat ini amat serius dalam menggembeling sumbangan kepada rakyat Palestin sesuai dengan moto kami “Memperkasa Ummah Membebaskan Al-Aqsa”. Setakat ini hamper RM4 juta sumbangan rakyat Malaysia telah disalurkan kepada rakyat Palestin dalam bentuk;

a. Bantuan makanan, pakaian dan keparluan kecemasan rakyat Palestin, fakir miskin dan anak-anak yatim / syuhada’. Di antaranya seperti pakaian musim sejuk, bantun bag dan pakaian sekolah anak-anak dan Ramadhan Food Pack.
b. Batuan Penajaan anak-anak yatim dan keluarga miskin secara bulanan. Kini lebih 1,500 orang anak-anak yatim dan keluarga miskin sudah sedang ditaja rakyat Malaysia melalui Aqsa Syarif.
d. Projek-projek membangun semula Gaza di dalam beberapa projek.

Sehingga kini Aqsa Syarif telah bekerjasama dengan 7 buah NGO di Palestin, 2 buah NGO di Beirut dan 4 buah agensi swasta dan kerajaan di dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang menyentuh empat sektor yang kritikal semenjak sekatan blockade terhadap Gaza dan serangan Israel yag dahsyat ke atas Gaza pada 2008/09, iaitu sektor;

a. Makanan
b. Kesihatan
c. Pendidikan
d. Sosio-ekonomi

Projek-projek yang dibangunkan oleh Aqsa Syarif bertujuan untuk memperkasa rakyat Palestin dalam menjana sosio-ekonomi lestari. Setakat ini projek Aqsa Syarif yang telah Berjaya dilaksanakan termasuklah Kilang Roti persahabatan Malaysia-Palestin di Gaza (bernilai RM 630,000.00), Ppojek ternakan lembu dan projek akuakultur. Selain dari itu Aqsa Syarif juga membiayai projek mikro kredit (Qardhul Hasan) untuk membantu rakyat Gaza menjana pendapatan secara mapan. Aqsa Syarif juga telah memberi komitmen untuk menjayakan projek perkampungan industri Malaysia-Palestin yang dianggar menelan belanja sebanyak RM3.5 juta yang telah ditandatangani pada Mei 2012 semasa konvoi Aqsa2Gaza4 (A2G4).


Satu lagi projek yang memberi penumpuan dan manfaat secara langsung kepada kaum wanita di Palestin yang digerakkan oleh wanita Malaysia melalui Aqsa Syarif di bawah jenama R2R (Rose to Rose) ialah membina pusat komuniti wanita. Sebanyak dua pusat komuniti akan dibangunkan setiap tahun. Sebuah darinya sudah disempurnakan penyaluran dana sejumlah RM 300,000.00 untuk bandar Rafah iaitu Projek Darul Qur’an Wa Sunnah. Untuk waktu yang terdekat ini Aqsa Syarif dengan sukacita memaklumkan satu Majlis Makan Malam Amal akan diadakan pada 14 Julai di Menara TM, Kuala Lumpur dengan mensasarkan kutipan sebanyak RM 500,000.00. Aqsa Syarif yakin dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai kaum seperti yang dibuktikan oleh penganjuran program Expresi Gaza 2012, usaha membantu rakyat Palestin.

Aqa Syarif juga ingin memaklumkan bahawa pada Ramadhan yang bakal menjelang pada 21 Julai 2012, Aqsa Syarif telah merancang dua misi kemanusiaan bertemakan “Ramadhan di Palestin bersama Aqsa Syarif” yang akan membawa bantuan-bantuan di dalam bentuk makanan dan keperluan rakyat di dalam menjalani ibadah Ramadhan dan persediaan sambutan Aidilfitri dan sesi persekolahan baru iaitu pada September 2012. Sekitar RM2.3 juta akan dijana dari sumbangan rakyat Malaysia bagi disalorkan untuk beberapa program dan projek termasuk;

a. Iftar Ramadhan di 15 buah majid di kem-kem pelarian di Gaza
b. Iftar Ramadhan di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis
c. Ramadhan Food Pack untuk 2,000 buah keluarga
d. Bag dan pakaian sekolah untuk 2,000 orang pelajar miskin dan anak-anak yatim
e. Juga tambahan sumbangan untuk projek-projek baru dan menaiktaraf projek-projek yang sedang dijalankan oleh NGO-NGO di Palestin

Projek Expresi Gaza 2012 ini yang akan digemblingkan oleh warga Politeknik Port Dickson dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO dan sekolah-sekolah di sekitar Port Dickson adalah suatu yang sangat unik dan perlu mendapat sanjungan. Dalam kata lain Expresi Gaza 2012 bukan sahaja menjadi medan untuk membina kesedaran tetapi secara tidak langsung menggambarkan betapa mendalamnya perasaan para penuntut dan staf Politeknik / institusi pendidikan terhadap perjuangan pembebasan Palestin.

Semoga ramai para pengunjung akan datang membanjiri Kompleks Sukan Paroi dan dapat menikmati hasil-hasil seni dan menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang termasuk persembahan nasyid, peraduan melukis dan mewarna, demonstrasi seni dan lain-lain yang sekaligus menyumbang kepada perjuangan membela rakyat Palestin.

Di akhir sidang media, wakil Aqsa Syarif dibawa melawat ke tempat urusetia program membuat persiapan dan tempat pengumpulan barangan berkaitan program Expresi Gaza 2012.

Sumber: http://aqsa2gaza3.blogspot.com/2012/07/politeknik-port-dickson-anjur-ekspresi.html

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud