Print

Kesedaran perihal Hari Al-Quds Sedunia di Masjid Negeri

on .

Seremban - Sambutan memperingati Hari Al-Quds Sedunia (HAQS) telah berjaya dilangsungkan dengan kerjasama Masjid Negeri, Seremban pada 21 Ogos bersamaan 21 Ramadhan 1432 Hijrah. Program ini merupakan kesinambungan daripada program pelancaran tabung Ramadhan Palestin yang telah dilancarkan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor pada 24 Julai yang lalu di mana ianya bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membiayai projek-projek Aqsa Syarif di Palestin.

 

Program HAQS bermula seawal jam 5 petang dengan acara pameran dan jualan. Disamping bunting dan barang-barang jualan Aqsa Syarif, tayangan video kekejaman Zionis di ruang legar masjid ternyata menarik perhatian pengunjung yang singgah solat di sana.Sesi penerangan ringkas oleh aktivis berkenaan dengan projek-projek yang dilaksanakan oleh Aqsa Syarif membantu memberi gambaran yang jelas kepada pengunjung akan usaha-usaha terkini yang sedang berlangsung di sana.

Program berhenti sebentar bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah. Tayangan video Palestin-WAFRAH yang memaparkan kesengsaraan hidup rakyat Palestin sambil diselang- selikan dengan sesi penerangan lanjut oleh Pengurus Aqsa Syarif Negeri Sembilan, Tuan Haji Shamsuri Abdullah mengambil tempat sejurus selesai solat Maghrib. Solat Isyak dan Tarawikh pada malam tersebut telah diimamkan oleh Syeikh Solah yang juga turut memanjatkan doa buat Masjidil Aqsa di dalam doa qunut membuatkan hadirin terkesan dan sebak.

Ceramah khas bersempena HAQS telah disampaikan oleh Ustaz Hasanuddin dengan penuh semangat dan ternyata memukau hadirin yang setia menunggu. Kupasan terperinci peristiwa dan perkongsian pengalaman disamping tazkirah yang diselit sepanjang ceramah memberikan suatu dimensi baru tentang perjuangan sebenar membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa.

“Adalah diharapkan agar kita dapat menggunakan kesempatan 10 malam yang terakhir Ramadhan ini yang Allah kurniakan kepada kita dengan mendekatkan diri kepadaNYA disamping memperbanyakkan doa buat saudara kita di Palestin” pesan beliau lagi.

Majlis ditutup dengan acara penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada semua penyumbang. Sebanyak 10 buah masjid, 9 buah surau, 7 buah institusi pendidikan dan 3 buah institusi awam dan swasta telah terlibat dalam kempen tabung Ramadhan Palestin kali ini dengan jumlah terkumpul sebanyak RM 48,019.35. Semoga isu perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa dan Palestin ini disahut baik oleh masyarakat di Negeri Sembilan sehinggalah ianya dibebaskan.

Artikel asal: http://negeri9.ikram.org.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=113:kesedaran-perihal-hari-al-quds-sedunia-di-masjid-negeri&catid=3:berita&Itemid=7

Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud