Print

Serahan memo bantahan kepada Kerajaan Britain di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 3 November 2017 – Serahan memorandum bantahan Balfour dihantar kepada British High Commission Kuala Lumpur bagi meminta pihak kerajaan Britain memohon maaf atas Deklarasi Balfour yang menjadi punca kewujudan negara haram Israel.

Sehingga kini, hampir 6 juta penduduk Palestin menjadi pelarian di luar negara dan ratusan ribu telah meninggal dunia atas pembentukan negara haram ini. Penduduk Palestin di Gaza pula tidak mendapat bantuan keperluan asas seperti air, elektrik, perubatan dan makanan dengan baik, manakala penduduk Palestin di Tebing Barat pula terpaksa bergelut dengan penafian hak-hak asasi manusia oleh penduduk haram Yahudi walaupun hidup di negara asal sendiri.

Hampir 28 perwakilan daripada pelbagai NGO seperti Aqsa Syarif, Rose2Rose, MyCARE, MAPIM, Haluan, BDS dan ABIM menghadiri sesi serahan memorandum bantahan ini.

Usaha ini juga turut mendapat sokongan daripada Tan Sri Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, dan Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat serta para aktivis dan sukarelawan yang turut hadir bersama-sama.

Setelah menanti hampir satu jam, Colonel Stephen Hall, Setiausaha Pertahanan Kerajaan Britain (Defense Advisor to British High Commission KL) bersetuju untuk bertemu dengan wakil penyerahan memo, Cikgu Azmi (Presiden MAPIM) dan Dr.Hafidzi (Pengerusi MyCARE).

Lagi gambar-gambar di album Aqsa Syarif

Cikgu Azmi menjelaskan bahawa tuntutan rakyat Malaysia kepada kerajaan British yang kini diterajui oleh Perdana Menteri Theresa May adalah:

a. British memohon maaf kepada rakyat Palestin atas implikasi Deklarasi Balfour sejak 100 tahun yang lalu;

b. British membatalkan sambutan ulangtahun ke-100 Deklarasi Balfour yang akan berlangsung pada 7 November nanti di Royal Albert Hall;

c. British menyokong dan melaksanakan cadangan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia Barat (ESCWA) bagi menamatkan Israel apartheid.

Penyerahan memo bantahan ini telah mencapai objektifnya pada hari ini dan akan diikuti rapat sehingga tarikh 7hb Nov, serta diteruskan dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang lain oleh pelbagai NGO.

Tahniah kepada mereka yang terus menerus mengambil berat akan isu penindasan dan kezaliman yang berlaku samada di Palestin dan negara-negara lain. Ayuh kita meneruskan usaha-usaha membebaskan Palestin daripada terus dijajah.

Add comment


Find us on Facebook
Find us on YouTube
Find us on Scribd
Follow Us on SoundCloud